AM

Undang-undang Berkaitan Hak Asasi Manusia Perlu Diselaras Antara Persekutuan, Negeri

17/06/2025 03:50 PM

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu menyelaras undang-undang berkaitan hak asasi manusia bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara terutama dalam isu melibatkan kekeluargaan, perkahwinan dan hak anak-anak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sistem perundangan negara yang berlandaskan undang-undang dari British telah menimbulkan pelbagai dilema terutama dalam hal berkaitan perkahwinan dan kekeluargaan Islam.

"...kita melihat pada sejarah pembentukan negara itu sendiri, banyak amalan kita berpaksikan undang-undang British sehinggalah diperkenalkan undang-undang Islam yang memfokus pada keluarga.

"Ini menyebabkan timbul konflik di antara perundangan itu sendiri. Jadi ini yang kita kena selesaikan secara berhemah, kalau tidak ia akan mendatangkan polemik politik disebabkan latar belakang rakyat itu sendiri (yang berbilang kaum)," katanya pada Majlis Penutup Muzakarah Isu Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Maqasid Syariah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus.

Fadillah berkata penyelarasan pentadbiran perundangan amat penting bagi menangani pelbagai isu seperti perkahwinan di luar Malaysia namun tidak didaftarkan di dalam negara sehingga memberi implikasi kepada status serta hak anak yang dilahirkan.

"Jika perkahwinan tidak didaftarkan di Malaysia, ia mencetuskan masalah pentadbiran... anak tidak dapat diiktiraf sebagai anak sah seterusnya tidak boleh didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara.

"Ia bukan sahaja menjejaskan pasangan bahkan memberi kesan besar kepada anak kerana mereka tidak akan mendapat manfaat yang sepatutnya menurut dasar dan perundangan negara," katanya.

Beliau berkata isu perkahwinan campur yang menimbulkan persoalan berkaitan kelayakan memiliki tanah rizab Melayu serta status anak di bawah perundangan negeri terutama Sabah dan Sarawak juga perlu diselaras.

"Jika berlaku perkahwinan antara kaum, Melayu dan Cina misalnya, timbul persoalan sama ada pasangan itu layak mendapat tanah rizab Melayu apatah lagi jika mereka tidak boleh berbahasa Melayu walaupun sudah memeluk Islam," katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan mengadakan rundingan dan muzakarah secara berkala bersama kerajaan negeri supaya dasar dapat diselaras serta tidak bercanggah dengan pentadbiran negeri.

Fadillah juga berkata kepentingan hak asasi manusia adalah selari dengan apa yang dibawa dalam konsep Malaysia MADANI yang diperkenal oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, prinsip hak asasi manusia dan Maqasid Syariah saling berkait dalam membentuk tadbir urus yang bersifat inklusif, adil dan beretika.

"Kedua-duanya menjadi panduan dalam memastikan pembangunan negara berlaku secara seimbang dari segi kerohanian, sosial dan ekonomi. 

"Inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh Kerajaan MADANI turut memperlihatkan komitmen Malaysia untuk menerajui agenda hak asasi manusia sama ada di peringkat domestik, serantau mahupun antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan