MELAKA, 11 Jun (Bernama) -- Malaysia bersedia menawarkan akreditasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang boleh diterima pakai oleh negara-negara ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu telah dipersetujui menerusi satu mesyuarat yang diadakan bersama dengan menteri serta pegawai kanan negara anggota untuk koordinasi akreditasi berkenaan.
“Kita telah mengadakan mesyuarat dengan menteri-menteri dan pegawai kanan seluruh negara ASEAN bagi menyelaras sistem akreditasi industri TVET, dan Alhamdulillah, persetujuan telah dicapai.
“Insya-Allah, Malaysia akan menjadi negara pertama yang menawarkan akreditasi ini untuk diterima pakai oleh semua negara anggota ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama sempena ASEAN TVET Council 4th Regional Policy Dialogue (ATC 4th RPD) bertemakan "TVET for Rural and Regional Advancement”, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kerajaan kini menyesuaikan kursus-kursus TVET mengikut permintaan pemain industri agar ia kekal relevan dan menjadi pilihan pelajar untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi.
Beliau berkata ekosistem TVET negara kini mula menawarkan kursus-kursus dalam bidang robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kenderaan elektrik yang sangat diperlukan oleh industri.
“Kita berharap usaha ini dapat mengubah persepsi ibu bapa yang sebelum ini menganggap kursus TVET sebagai pilihan terakhir untuk anak-anak mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga Menteri kemajuan Desa dan Wilayah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, esok.
Katanya, beliau menjangkakan akan ada pengumuman khabar gembira buat para pelajar TVET sempena perasmian berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial