PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima pelbagai pandangan dan cadangan penambahbaikan daripada pihak berkaitan bagi mengelakkan tragedi seperti kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam, berulang.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata antara syor yang diterima termasuklah cadangan supaya perjalanan melibatkan pelajar universiti diadakan hanya pada waktu siang.
“Ada yang mengesyorkan supaya perjalanan bagi pelajar-pelajar universiti dan mahasiswa sekarang ini perlu dibuat pada waktu siang dan tidak lagi pada waktu malam,” katanya kepada media selepas sesi Makan Tengah Hari Bersama Pengarang Media bersempena dengan Program Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 KPT di sini hari ini.
Mengulas kejadian berasingan, Zambry berkata beliau turut dimaklumkan mengenai kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang dinaiki pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) awal pagi tadi.
“Saya baru dapat maklumat mengenai nahas itu pagi tadi, tetapi tiada kecederaan,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi semalam, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Media hari ini turut melaporkan sebanyak 28 penumpang termasuk 13 pelajar UMPSA terselamat selepas bas yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah timur pada tengah malam semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial