GEORGE TOWN, 5 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang memperkenalkan insentif diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit kediaman dan komersial menerusi dasar baharu, Dasar Pemangkin Momentum Sektor Hartanah dan Pemilikan Rumah Inklusif MADANI (MADANI Home Ownership Campaign - MOC).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo, berkata insentif itu berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026, khusus kepada golongan India Muslim yang berminat untuk memiliki hartanah di negeri ini.
Selain itu, beliau berkata Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) turut memperkenalkan kategori khas Rumah MutiaraKu Jenis D (RMKu D) dengan harga siling maksimum RM400,000, dikhususkan kepada pembeli berpendapatan isi rumah sehingga RM15,000 sebulan.
“Unit di bawah kategori ini tidak dibenarkan dijual di pasaran terbuka dan tidak boleh dijadikan pematuhan kepada syarat pembangunan,”katranya pada sidang media yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye di Komtar di sini hari ini.
Katanya antara insentif lain di bawah dasar MOC termasuk pengurangan kadar sumbangan bagi pemaju yang tidak menyediakan unit RMKu Jenis A atau B secara fizikal.
Di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), sumbangan diturunkan daripada RM120,000 kepada RM100,000, manakala di kawasan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diturunkan kepada RM72,500.
Kerajaan negeri turut menambah kadar pelepasan pasaran terbuka daripada 20 peratus kepada 50 peratus, bagi memastikan aliran tunai dan kelancaran penyerahan unit RMKu. Bagaimanapun, kadar fi pelepasan ditetapkan pada 10 peratus daripada harga jualan.
“Pakej naik taraf pasaran terbuka juga hanya dibenarkan sehingga 50 peratus daripada harga asas, namun tidak dibenarkan bagi unit PN1 demi menjaga ketelusan pematuhan Dasar RMKu,” katanya.
Selain itu, Sundarajoo berkata pemaju turut dikecualikan daripada caj penjualan atau pembelian kuota RMKu A dan B, serta pengecualian daripada keperluan menyediakan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), bagi projek tertentu.
Beliau berkata dasar yang diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri kelmarin dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor hartanah negeri.
“Pelaksanaan MOC ini diyakini mampu meningkatkan kadar pemilikan rumah, merangsang kelulusan projek baharu dan mewujudkan ekosistem hartanah yang inklusif, mampan serta berdaya saing.
“Kerajaan negeri juga akan terus meneliti serta menambah baik garis panduan dasar ini dari semasa ke semasa, berdasarkan maklum balas daripada pemain industri dan rakyat Pulau Pinang,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri melaksanakan beberapa inisiatif seperti Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan Dasar Rangsangan Sektor Hartanah Pulau Pinang 2020 yang dilanjutkan sehingga HOC 3.0 PLUS berakhir pada 31 Dis lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial