JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Gangguan bekalan air yang berlaku di daerah Johor Bahru dan Iskandar Puteri akibat kebocoran paip air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor sejak Selasa lepas, pulih sepenuhnya awal pagi ini.
Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ Khairul Effendy Tusam berkata kebocoran itu insiden luar jangka yang jarang berlaku dan pasukan syarikat pengendali air Johor berdepan kesukaran sepanjang proses baik pulih dijalankan.
“Kami akur dengan kesulitan yang dihadapi para pelanggan akibat kejadian ini. Sejak ia berlaku, segala usaha dilakukan untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan secepat mungkin kepada semua yang terjejas.
"Bagaimanapun, segala cabaran ditangani sebaik mungkin kerana bekalan air menjadi keperluan paling asas kepada semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Effendy berkata pihaknya juga sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian berkenaan.
"(Siasatan) ini dilakukan dengan meneliti setiap aspek teknikal serta penjagaan berkala semua peralatan dalam sistem pemprosesan dan jajaran paip air di loji terbabit.
“Setiap data yang dikumpulkan itu (kemudian) akan diteliti bagi membolehkan prosedur sedia ada dikemas kini untuk mengelakkan insiden sama berulang pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengguna terjejas atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh sukar itu.
Pada Selasa lepas, kerosakan luar jangka pada pam utama LRA yang memproses air mentah Sungai Johor mengakibatkan agihan lebih 318 juta liter air terawat sehari bagi kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri terputus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial