PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) -- Aplikasi ‘OpenDOSM NextGen’, platform yang menyediakan katalog data dan visualisasi kepada pengguna untuk menganalisis pelbagai jenis data, yang dilancarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2023 membantu melonjakkan nama negara di persada antarabangsa dalam penilaian Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/25.
Mengatasi 198 negara dengan skor keseluruhan 90 serta skor keterbukaan data yang cemerlang iaitu 99, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penilaian ODIN penting kerana ia menyediakan gambaran menyeluruh mengenai sejauh mana negara menyediakan data yang terbuka dan boleh diakses untuk semua.
Malaysia juga mencatatkan sejarah apabila menduduki tempat teratas berbanding tempat ke-67 pada penilaian ODIN 2022/2023.
"OpenDOSM, yang menyediakan 645 set data, membenarkan mana-mana pihak termasuk orang awam untuk mendapatkan maklumat di hujung jari.
“Selain data ekonomi, kami juga menyediakan data berkenaan sosial, persekitaran serta data-data bermula peringkat Parlimen hingga ke Dewan Undangan Negeri, secara tidak langsung membantu kerajaan merancang projek pembangunan atau ekonomi yang lebih bersasar,” katanya dalam temu bual khas di sini.
Beliau berkata inisiatif OpenDOSM telah berjaya merapatkan jurang maklumat antara pembuat dasar dan orang awam.
Mohd Uzir berkata dengan penyediaan platform data yang boleh diakses dalam format yang mesra pengguna, OpenDOSM memperkukuh keupayaan penggubal dasar dan penyelidik untuk melaksanakan keputusan berasaskan bukti.
“Pengiktirafan terhadap platform ini turut melangkaui sempadan negara. Negara-negara seperti Qatar telah menyatakan minat terhadap pendekatan Malaysia, dan saya telah dijemput untuk berkongsi pengalaman serta amalan terbaik mengenai pelaksanaan OpenDOSM,” katanya.
Ditanya faktor mendorong kejayaan dicatatkan Malaysia pada penilaian kali ini, Mohd Uzir berkata komitmen dan semangat warga DOSM untuk mencelikkan rakyat dengan data atau literasi data, telah membuatkan jabatan itu melaksanakan beberapa pembaharuan strategik yang menyasarkan penambahbaikan dari segi liputan data dan keterbukaan maklumat.
“Pasukan khas telah ditubuhkan bagi menangani jurang yang telah dikenal pasti. Dari segi liputan data, perhatian khusus telah diberikan kepada data yang berasaskan jantina serta statistik di peringkat daerah.
“Selain itu, pengumuman metodologi baharu oleh pihak Open Data Watch (ODW) bagi penilaian ODIN 2024/25 turut mendorong DOSM untuk memberi keutamaan kepada penerbitan data berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), memandangkan komponen ini merupakan elemen utama dalam pemarkahan penilaian ODIN 2024/2025," katanya.
Bagi memastikan Malaysia meneruskan kejayaan pada sesi penilaian akan datang, Mohd Uzir berkata DOSM telah melaksanakan ODIN Self-Assessment Dashboard bagi memantau kemajuan usaha liputan dan keterbukaan data secara masa nyata.
Beliau berkata antara penambahbaikan utama di OpenDOSM termasuk integrasi fungsi Advanced Release Calendar (ARC) yang diselaraskan dengan portal rasmi DOSM bagi membantu pengguna mendapatkan maklumat terkini berkaitan Penerbitan DOSM.
Di samping itu, Mohd Uzir berkata OpenDOSM turut memperkenalkan fungsi langganan e-mel, yang memaklumkan pengguna apabila terdapat set data baharu yang diterbitkan.
"DOSM kekal komited dalam memperkukuh agenda data terbuka Malaysia agar terus relevan di peringkat nasional dan global," katanya.
Laporan penilaian ODIN yang dikeluarkan secara dwitahunan memberi fokus kepada keterbukaan dan liputan data rasmi negara yang dinilai menerusi ketersediaan penunjuk utama, perincian mengikut masa dan geografi serta kemudahan akses kepada data dalam format mesra mesin.
ODIN berfungsi untuk menggalakkan ketelusan, mempromosikan akauntabiliti, serta menyokong pembangunan berdasarkan bukti melalui penggunaan data berkualiti tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial