KOTA KINABALU, 6 Julai (Bernama) -- Agrobank memperuntukkan sebanyak RM50 juta melalui program Agro Pintar Niaga (AgroPintar) yang baru dilancarkannya beserta tambahan RM5 juta geran padanan i-TEKAD untuk memudahkan akses pembiayaan kepada usahawan mikro.
Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussein berkata program itu akan menyokong perusahaan mikro melalui skim pembiayaan perniagaan dan perladangan kontrak yang bertujuan memberi manfaat kepada lebih 4,000 usahawan mikro berkelayakan terutamanya daripada komuniti berpendapatan rendah.
Beliau berkata Program AgroPintar itu yang dilancarkan pada 5 Julai diteraju oleh Bahagian Pusat Kecemerlangan (ACE) dan Pembiayaan Mikro Agrobank, mencerminkan komitmen berterusan Agrobank untuk memperkasakan usahawan mikro di seluruh negara.
“AgroPintar adalah program holistik yang menawarkan bukan sahaja pembiayaan dan padanan geran i-TEKAD, tetapi juga modul penting mengenai keusahawanan dan etika perniagaan.
“Program itu memberi tumpuan utama terhadap literasi kewangan, meliputi bidang seperti pengurusan kewangan, kawalan risiko kredit dan pengurusan hutang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan daya saing usahawan mikro dan membantu mereka membuat keputusan perniagaan yang lebih berkesan.
Menurutnya, inisiatif itu dijangka bukan sahaja memacu hasil ekonomi yang positif tetapi juga memupuk pembangunan sosial dalam kalangan usahawan mikro.
"Melalui bimbingan berstruktur, peserta akan dilengkapi dengan pengetahuan dan instrumen untuk membuat keputusan kewangan dan perniagaan yang baik, seterusnya meningkatkan keupayaan mereka untuk mengurus pelbagai aspek perniagaan dengan cekap.
“Selain itu, kami akan memantau impak dan keberkesanan program tersebut enam bulan selepas peserta menyertainya, sejajar dengan misi bank untuk memupuk usahawan yang berdaya tahan, berfikiran ke hadapan dan mampan dalam jangka panjang,” katanya.
Pada majlis yang sama, Agrobank turut melancarkan Siri Video Celik Kewangan, yang dibangunkan secara kerjasama dengan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) dengan 12 episod menampilkan pengaruh media sosial popular, Sir Asai.
Inisiatif ini disesuaikan untuk menggalakkan kesedaran kewangan dalam kalangan pelajar sekolah menggunakan kandungan yang menyeronokkan dan boleh diakses.
Ia bertujuan untuk menyemai tabiat kewangan yang sihat melalui pendekatan 3S - Spend (Berbelanja), Save (Simpan) dan Share (Kongsi) bagi menggalakkan generasi muda mengamalkan pengurusan wang yang bertanggungjawab sejak kecil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial