AM

Jemaah Menteri Zahir Ucapan Tahniah Sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong

02/06/2025 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Jemaah Menteri merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook mendoakan semoga Allah SWT melanjutkan usia Seri Paduka Baginda serta merahmati pemerintahan Sultan Ibrahim dengan penuh kemuliaan, kesejahteraan serta keberkatan berpanjangan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula merafak setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

"Patik sekalian mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan Allah SWT kesihatan yang sempurna, dipanjangkan usia dan diberkati pemerintahan Tuanku dengan limpahan rahmat, kemuliaan dan kesejahteraan berpanjangan, Dirgahayu Tuanku,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pula mendoakan semoga Allah SWT terus melimpahkan keafiatan, kesejahteraan serta rahmat yang berpanjangan ke atas Seri Paduka Baginda dalam memayungi negara dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan kasih sayang kepada rakyat.

"Patik turut mendoakan semoga seluruh kaum kerabat Kebawah Duli Tuanku sentiasa berada dalam lindungan dan inayah Allah SWT, dikurniakan taufik, hidayah serta kekuatan dalam menggalas amanah sebagai penaung negara dan seluruh rakyat Malaysia.

"Semoga institusi ini terus kekal menjadi payung kedaulatan, penyatu ummah dan lambang kestabilan negara dalam semangat Malaysia MADANI," katanya menerusi Facebook.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut mendoakan semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan keberkatan, kesihatan dan kekuatan kepada Seri Paduka Baginda dalam menjalankan amanah sebagai payung negara yang sentiasa memayungi rakyat jelata dengan penuh hikmah, adil dan saksama, berlandaskan nilai-nilai murni Malaysia MADANI.

"Patik dan seluruh warga Kementerian mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda sentiasa dilimpahi keberkatan," katanya.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pula dalam hantaran Facebook berkata beliau dan warga kementeriannya turut mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Patik dan sekalian rakyat menjunjung kasih dan menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Institusi Raja Berperlembagaan. Semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong terus berada dalam kemuliaan dan darjat yang tinggi. Dirgahayu Tuanku!”.

Ucapan merafak sembah dan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong turut dikongsikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Pengangkutan Anthony Loke serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan turut menjunjung kasih ucapan setinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam hantaran Facebook turut mendoakan ke hadrat Allah SWT agar Sultan Ibrahim serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dikurniakan rahmat, hidayah, kesejahteraan, kesihatan yang berpanjangan dan kemuliaan yang berdaulat sepanjang masa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan