AM

Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 Dilancar Tahun Ini

13/05/2025 03:03 PM

JOHOR BAHRU, 13 Mei (Bernama) -- Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 sedang diperhalusi dan akan dilancarkan tahun ini, bagi memperkasakan ekosistem halal negeri secara menyeluruh. 

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelan penting itu akan meletakkan Johor sebagai negeri pertama mempunyai kerangka pembangunan ekonomi halal menyeluruh.

”Pelan ini digubal bagi memperkasakan ekosistem halal Johor daripada mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menghasilkan produk halal bertaraf global hingga membina rangkaian keusahawanan tempatan yang kompetitif.

“Dengan semakin banyak pelabur hadir ke Johor menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pelan ini bakal menjadi pemangkin penting dalam menarik syarikat halal antarabangsa dan tempatan untuk beroperasi, berkembang serta berinovasi di Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Onn Hafiz berkata antara inisiatif utama pelaksanaan pelan itu ialah sasaran mendaftarkan 500 syarikat halal setiap tahun, mempercepat proses pensijilan dan menawarkan insentif menyeluruh kepada syarikat serta usahawan tempatan agar mampu menembusi pasaran lebih luas.

Beliau berkata kerajaan negeri bersama PIJ Holdings Sdn Bhd (PIJ Holdings), PIJ Halal Ventures, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor akan terus memperkukuh kerjasama bagi menyokong syarikat yang telah berjaya agar dapat berkembang ke peringkat lebih tinggi melalui sokongan pelaburan serta pengembangan pasaran.

”Insya-Allah, melalui pelaksanaan berfasa dan pemantauan teliti, Pelan Kemajuan Halal Johor 2030 akan memberi impak langsung kepada Johor dengan memperkukuh kedudukan sebagai hab ekonomi halal, seterusnya menjadikan negeri ini sebagai contoh pembangunan ekonomi islamik yang progresif di Malaysia,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan