SUKAN

Cklamovski Puji Komitmen Pemain

11/06/2025 12:54 AM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Komitmen ditunjukkan setiap pemain menjadi kunci kejayaan skuad Harimau Malaya menundukkan Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Pengendali pasukan kebangsaan Peter Cklamovski berkata kemenangan malam ini juga membuktikan keberkesanan latihan yang dilalui anak buahnya dalam tempoh singkat menerusi persembahan cukup membanggakan.

“Pada separuh masa pertama, kita telah mencipta peluang terbaik manakala pada babak kedua pemain menunjukkan disiplin tinggi. Saya puji komitmen mereka dan mereka layak menang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Bagaimanapun, beliau berharap anak buahnya tidak terlalui dibuai kejayaan malam ini, dan perlu kekal fokus pada saingan Piala Asia kerana masih ada ruang untuk penambahbaikan menjelang perlawanan seterusnya.

Sementara itu, jurulatih Vietnam Kim Sang Sik mengakui kehebat skuad Harimau Malaya kali ini namun yakin masih ada peluang untuk pasukan Naga Emas membalas dendam pada aksi timbal balik nanti.

"Malaysia semakin hebat pada perlawanan malam ini. Kami memang jangkakan prestasi mereka lebih baik daripada sebelumnya.

“Pada babak pertama, kami ada buat perancangan tapi kami hilang dua tunggak pertahanan pada separuh masa kedua yang memberi kesan di benteng depan,” katanya.

Pada aksi di hadapan lebih 60,000 penonton malam ini, Malaysia menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan ke atas Vietnam dengan meledak empat gol tanpa balas hasil jaringan Joao Figueiredo pada minit ke-49, Rodrigo Holgado (‘59), Corbin Ong (‘67) dan Dion Cools (‘89).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan