AM

Lima Petugas Media Al Jazeera Terkorban, Ahmad Zahid Rakam Ucapan Takziah

11/08/2025 09:50 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga lima petugas media Al Jazeera yang terkorban akibat serangan terancang tentera Israel di Bandar Gaza.

Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, Ahmad Zahid berkata tragedi serangan itu telah meragut nyawa Anas al-Sharif, Mohammed Qreiqeh, Ibrahim Zaher, Moamen Aliwa dan Mohammed Noufal.

Beliau berkata mereka gugur ketika menjalankan tugas mulia menyampaikan kebenaran dan melaporkan keadaan sebenar di lapangan, demi membuka mata dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin.

“Keberanian dan pengorbanan mereka menjadi bukti bahawa perjuangan menegakkan keadilan tidak akan pernah padam, walaupun nyawa menjadi taruhan.

“Saya ingin merakamkan ucapan takziah yang amat mendalam kepada keluarga semua mangsa dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam ini, yang jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya dalam hantaran itu.

Ahmad Zahid berkata Malaysia akan terus bersuara di pentas dunia, memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin, serta menuntut penghentian segera serangan terhadap wartawan dan petugas kemanusiaan.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada,” katanya.

Pejabat Media Gaza hari ini melaporkan bahawa dua wartawannya merupakan antara lima petugas media yang maut pada Ahad selepas khemah mereka berhampiran Hospital Al-Shifa di barat Bandar Gaza diserang Israel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan