KANGAR, 10 Ogos (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan berangkat menyertai larian santai Eco Fun Run sejauh kira-kira tujuh kilometer di sekitar geotapak Bukit Lagi, di sini, sempena Karnival Sihat Milik Semua.
Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail turut bersama-sama menyertai acara yang menarik penyertaan kira-kira 1,800 peserta.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga menyertai larian berkenaan.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan program itu bertujuan menggalakkan aktiviti sihat dan santai bersama keluarga atau rakan, selain menyemai sifat prihatin terhadap pemuliharaan serta kebersihan alam sekitar.
Menurut KKM, penganjuran karnival bersempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, memberi tumpuan kepada kesihatan komuniti menerusi inisiatif MADANI Afiat dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi meningkatkan literasi kesihatan serta memperkasa kesejahteraan rakyat.
“Ia juga menjadi platform untuk mendekati masyarakat, meningkatkan kesedaran pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) serta memberi panduan praktikal menjaga kesihatan fizikal dan mental,” kata KKM.
KKM memaklumkan karnival itu menyokong empat teras ANMS dan agenda kesihatan negeri ‘Perlis Hebat, Sihat Milik Semua’.
Pelbagai program diadakan termasuk Walkabout Premis Bersih Bebas Asap Rokok (BeBAs), pelancaran Ops Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) peringkat negeri, dan Program MADANI Afiat.
Acara dua hari yang bermula semalam di Dewan 2020 itu dianjurkan secara kerjasama strategik antara Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis, Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah (YATHB), dan Kerajaan Negeri Perlis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial