AM

Tapak Bersejarah Tol Lama Slim River Kini Hab Agrobazar Strategik  

08/08/2025 09:07 PM

TANJONG MALIM, 8 Ogos (Bernama) -- Tapak bersejarah plaza Tol Lama Slim River kini berwajah baharu dikenali sebagai Medan Agrobazaar Tol Lama dan disasarkan menjadi pusat pengumpulan dan pemasaran hasil pertanian bagi daerah Muallim dan kawasan sekitarnya.

Sejak mula beroperasi Februari lepas, agrobazar itu mencatatkan nilai jualan sebanyak RM25,700, hasil daripada pelbagai produk segar dan makanan berasaskan pertanian yang dipasarkan di situ. 

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli berkata lokasi itu kini menempatkan empat usahawan tempatan yang menggerakkan jualan harian pelbagai produk.

“Kita mahu menjadikannya hab pengumpulan hasil pertanian dari daerah Muallim...sama ada dari Batang Padang atau Hulu Bernam untuk dipasarkan ke utara dan selatan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Medan Agrobazaar Tol Lama, Slim River di sini hari ini.

Antara produk utama yang dijual ialah buah-buahan segar, kelapa muda, air buah serta pelbagai produk industri makanan asas tani (IMAT) yang dihasilkan usahawan setempat. 

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang Salina Samsudin, Ketua Pengarah FAMA Abd Rashid Bahri dan Pegawai Daerah Muallim Mohd Sabli Bakri.

Aminuddin berkata agrobazar berkenaan turut menjadi lokasi tetap jualan Rebung MADANI iaitu rebung segar yang dikutip komuniti kampung dan Orang Asli setempat yang kini sinonim dengan Slim River.

Sejak diperkenalkan, sebanyak 11,493 balang rebung telah dipasarkan di bawah jenama ‘Produk Tol Lama Slim River’ dan diperkenalkan ke peringkat antarabangsa menerusi Ekspo Malaysia Fest di Singapura baru-baru ini. 

“Kita bawa 200 balang dan habis dijual...maknanya permintaan rebung ini bukan setakat dalam negara, termasuk Singapura juga. Kita harap medan ini dijadikan hab pengedaran utama, memanfaatkan lokasinya yang berada di tengah-tengah laluan utama negara,” katanya.

Medan Agrobazaar Tol Lama itu turut menjadi antara lokasi pelaksanaan Program Santuni MADANI iaitu inisiatif meningkatkan potensi kampung dan keupayaan ekonomi masyarakat menerusi pemantauan serta libat urus secara langsung. 

Program itu seiring aspirasi Agro MADANI yang memberikan penekanan kepada keterjaminan pasaran, kestabilan harga dan penglibatan inklusif rakyat dalam sektor makanan serta pertanian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan