AM

MTHQA: Qariah Malaysia Antara Enam Peserta Perdengarkan Bacaan Malam Ini

08/08/2025 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Qariah Malaysia Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi adalah antara enam peserta yang akan memperdengarkan bacaan al-Quran pada malam akhir Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 2025, malam ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan acara tilawah di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu akan bermula pada  8.45 malam ini.

“Ayuh rakyat Malaysia, penuhi dewan dan bersama-sama memberi sokongan padu buat qariah kita,” menurut hantaran itu.

Peserta lain yang turut memperdengarkan bacaan al-Quran ialah Mohamad Habil Walizada (Afghanistan), Kaiyrbay Dauken (Kazakhstan), Mohamad Mozammel Hossain (Kanada), Nur Rahmiyatin Adhya (Indonesia) dan Sansari Sos Yusof (Kemboja).

Majlis itu turut disiarkan secara langsung melalui RTM TV1 dan saluran rasmi media sosial JAKIM bermula pada 8.15 malam. 

Bertemakan ‘Membangun Ummah MADANI’, MTHQA ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara.

Pemenang kategori Tilawah bakal membawa pulang wang tunai RM40,000 manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM30,000 dan RM20,000, selain barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan