KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) telah menetapkan strategi untuk mengekalkan komposisi kaum Melayu dan Bumiputera di ibu negara supaya tidak kurang daripada 40 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata antara strategi yang sedang diteroka ialah memastikan Rumah Mampu Milik Melayu, Kedai Mampu Milik Melayu dan Perindustrian Ringan Mampu Milik Melayu diperkenalkan bagi setiap pembangunan di Tanah Rizab Melayu dan tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Wilayah Persekutuan.
“Cadangan ini masih di peringkat awal kajian dan perlu dirujuk kepada pertimbangan Jemaah Menteri dahulu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai pelan jangka panjang kerajaan dalam mengekalkan identiti, pemilikan dan kesinambungan komuniti Melayu di tengah bandar khususnya di Kuala Lumpur yang mengalami tekanan pembangunan swasta.
Bagi memastikan pengekalan komuniti Melayu di Kuala Lumpur, Dr Zaliha berkata penetapan peratusan kuota bumiputera telah dipertingkatkan sejak 2023 iaitu minimum 40 peratus bagi projek persendirian dan minimum 70 peratus bagi projek kerajaan atau usaha sama.
Kuota itu, katanya telah ditetapkan ke atas semua kelulusan perancangan tanpa mengambil kira lokasi yang tertakluk kepada bentuk pembangunan.
“Bagi rizab Melayu pula, pematuhan pemilikan sepenuhnya 100 peratus mestilah kepada kaum Melayu tanpa sebarang kompromi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial