PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menganjurkan Pertandingan Mahkamah Mut Perundangan Angkasa (PMPA 2025) sebagai usaha memperkukuh kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap bidang perundangan angkasa yang semakin penting dalam pembangunan teknologi angkasa negara.
Pertandingan yang bakal berlangsung dari 5 hingga 7 Dis ini di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, akan diterajui oleh Bahagian Penguasa Angkasa dengan kerjasama USIM serta sokongan daripada Rakan Pelaksana Strategik, Yayasan Inovasi Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri MOSTI Chang Lih Kang berkata beliau mahu melihat lebih ramai mahasiswa undang-undang menyahut cabaran ini bukan sekadar untuk memenangi pertandingan, tetapi juga untuk meneroka bidang baharu yang menggabungkan sains, teknologi dan undang-undang.
“Saya yakin melalui pertandingan ini, kita dapat melahirkan barisan peguam muda yang bersedia menghadapi cabaran masa depan dan mampu menjaga kepentingan negara ketika bersaing di pentas global dalam industri angkasa,” katanya.
PMPA 2025 dirangka khusus untuk memperkenalkan dan mengangkat kepentingan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834], selain membuka ruang kepada peserta membincangkan isu kritikal berkaitan undang-undang angkasa antarabangsa dalam konteks teknologi semasa dan penerokaan angkasa pada masa depan.
Ia bukan sekadar simulasi prosiding mahkamah mut, tetapi juga medium latihan praktikal yang memberi peluang kepada pelajar undang-undang mengasah kemahiran berhujah dalam konteks perbicaraan angkasa sambil memahami cabaran sebenar industri angkasa negara dan antarabangsa.
Chang berkata pertandingan ini turut dilihat sebagai langkah memperkukuh kerjasama akademik antara institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan dalam usaha menggubal serta melaksanakan dasar undang-undang angkasa negara.
Selain itu, ia bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan warga akademik tentang kewujudan serta kepentingan undang-undang angkasa Malaysia terhadap keselamatan, kedaulatan dan pembangunan negara dalam sektor angkasa, katanya.
Pelaksanaan PMPA 2025 sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keilmuan, keterangkuman dan ihsan dalam pembentukan masyarakat progresif. Program ini juga menyokong Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030, khususnya dalam aspek pemupukan bakat serta tadbir urus berasaskan data.
MOSTI melihat PMPA 2025 sebagai sebahagian daripada strategi mencapai sasaran Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030.
Antara sasaran dasar tersebut ialah sektor angkasa menyumbang sekurang-kurangnya satu peratus atau RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar serta mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam ekosistem angkasa negara yang progresif dan mampan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Dr Che Zuhaida Saari berkata apabila teknologi telah sebati dalam kehidupan dan sampai ke bintang, undang-undang perlu lebih ke hadapan bagi memastikan ruang angkasa kekal sebagai wilayah aman, beretika dan inklusif.
Beliau menegaskan bahawa angkasa bukan sekadar ruang kosong, tetapi satu amanah yang memerlukan tanggungjawab besar demi kesejahteraan sejagat.
PMPA 2025 dijangka menerima penyertaan sehingga 50,000 peserta dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara, menjadikannya platform utama pembangunan kepakaran dalam bidang perundangan angkasa yang semakin mendapat perhatian antarabangsa.
Maklumat lanjut mengenai syarat penyertaan dan butiran pertandingan boleh didapati di laman web rasmi PMPA 2025 di pautan https://spacelawmootcourt.usim.edu.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial