AM

Tapak Pelupusan Sampah Gua Musang Dipindahkan, Tangani Isu Asap Tebal

05/08/2025 02:55 PM

GUA MUSANG, 5 Ogos (Bernama) -- Tapak pelupusan sampah di laluan Gua Musang-Lojing, berhampiran Kampung Kundur akan dipindahkan ke lokasi baharu bagi menyelesaikan masalah pembakaran terbuka yang menyebabkan kejadian asap tebal berterusan sejak lebih dua tahun lepas.

Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) Mohd Roshdi Ismail berkata lokasi baharu itu masih dalam kawasan sama, namun di tapak berbeza yang lebih sesuai dan terkawal.

Beliau berkata pemindahan itu membolehkan pihaknya melaksanakan penambahbaikan di tapak asal, termasuk menutup laluan keluar masuk yang sering diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kerja-kerja penimbusan timbunan sampah sedia ada akan dilakukan menggunakan tanah milik kerajaan negeri dan penduduk setempat, dengan persetujuan pemilik atas dasar situasi menang-menang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Roshdi memaklumkan arahan tindakan segera telah dikeluarkan, termasuk pelaksanaan kerja penambahbaikan serta pemasangan pagar di sekeliling tapak bagi menghalang pencerobohan.

“Penduduk dan pengguna jalan raya di laluan Gua Musang-Lojing terpaksa menghidu asap tebal setiap hari, mengakibatkan risiko kesihatan dan gangguan penglihatan ketika memandu,” katanya.

Situasi itu dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka oleh individu tidak bertanggungjawab, sekali gus menjejaskan lebih 5,000 penduduk di kawasan sekitar Kuala Betis, Felcra Panggong Lalat, Tanah Tinggi Lojing serta kawasan berdekatan Cameron Highlands, Pahang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan Wan Aminordin Wan Kamarudin berkata tapak pelupusan berkenaan adalah di bawah pemantauan dan tindakan MDGM, justeru semua aduan perlu disalurkan terus kepada pihak majlis.

“Setakat ini, JAS tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan pencemaran di lokasi itu,” katanya.

Wan Aminordin bagaimanapun mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka, sama ada secara sengaja atau tidak, terutamanya ketika negara kini sedang menghadapi cuaca kering dan panas.

Beliau berkata di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024), mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati asap tebal masih keluar dari timbunan sampah lama, meskipun hujan sejak beberapa hari lepas. Bau busuk turut dihidu dari jarak lebih 200 meter, menunjukkan sisa yang terbakar masih aktif di beberapa kawasan.

Keadaan itu menyebabkan penglihatan menjadi terhad di laluan utama Gua Musang-Lojing, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan jalan raya khususnya pada waktu awal pagi dan lewat petang. 

Laluan itu adalah akses penting ke Lojing dan Cameron Highlands yang sering digunakan oleh pelancong dan penduduk setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan