AM

Persiapan Melaka Sebagai Tuan Rumah WTD 2025 Hampir 90 Peratus

03/08/2025 04:12 PM

ALOR GAJAH, 3 Ogos (Bernama) -- Persiapan Melaka selaku tuan rumah sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 yang dijadual pada 27 hingga 29 Sept ini, telah mencapai hampir 90 peratus.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata kesiapsiagaan meliputi aspek pengisian program, pemilihan lokasi kemuncak sambutan serta jemputan delegasi antarabangsa khususnya menteri-menteri pelancongan dari seluruh dunia dan anggota Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO)

"Kita masih dalam tindakan persiapan menjelang sambutan WTD 2025 dan hanya tinggal kira-kira 10 hingga 15 peratus sahaja kerja-kerja atau persiapan yang masih berbaki.

"Alhamdulillah semua berjalan lancar dan saya yakin kehadiran dalam kalangan menteri-menteri pelancongan dari seluruh dunia mendapat sambutan dan jemputan telah dibuat kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia yang turut dihadiri penyelaras DUN berkenaan yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Abdul Razak berkata Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) akan berlangsung di sebuah hotel di Melaka Raya manakala Majlis Makan Malam WTD 2025 dan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) pula diadakan di pusat persembahan pelbagai guna di Kota Syahbandar.

"Pemilihan pusat persembahan pelbagai guna itu adalah sesuai dengan acara kemuncak sambutan WTD 2025 dan pelancaran TMM 2026 kerana kita ingin memperlihatkan keunikan dan kelebihan Melaka yang terletak di Selat Melaka kepada delegasi antarabangsa," katanya.

Terdahulu, beliau berkata program WRUR yang telah berlangsung di tujuh DUN termasuk Rembia dilihat memberi impak positif dalam menyelesaikan isu atau permasalahan berbangkit dialami rakyat.

Beliau berkata penyertaan rakyat dalam setiap program atau aktiviti dianjurkan di setiap DUN terlibat juga mendapat sambutan menggalakkan sekali gus menjadi platform untuk wakil rakyat dan kepimpinan negeri  bertemu secara langsung dengan masyarakat setempat.

"Banyak juga aduan rakyat telah berjaya diselesaikan sekali gus membuktikan pelaksanaan WRUR bertepatan dengan objektifnya dan wajar diteruskan ke semua 28 DUN di Melaka," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan