KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Seorang guru dan tiga kanak-kanak sebuah tadika cedera selepas bas dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM) Selangor.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.18 tengah hari tadi.
“Siasatan awal mendapati bas yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun berada di laluan lurus dan kemudian hilang kawalan sebelum kenderaan itu terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Video rakaman kamera papan pemuka memaparkan kemalangan bas dinaiki lima guru dan 30 kanak-kanak itu turut tular di media sosial.
Muhamad Farid berkata tiga kanak-kanak dan guru pengiring yang mengalami kecederaan kepala menerima rawatan pesakit luar di Hospital Serdang.
Beliau berkata pemandu bas berkenaan ditahan dan permohonan reman akan dibuat esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-80742222 atau balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial