AM

Ingin Baiki Status Sosial Keluarga Dorong Pelajar Orang Asli Cemerlang STPM

24/06/2025 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Keinginan memperbaiki kedudukan sosial keluarga menjadi pendorong kepada pelajar Orang Asli Roziana Tan Beng Hai untuk muncul pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gemok, Kuala Rompin, Pahang, berkata hasrat itu diterjemahkan melalui usaha dan disiplin sehingga dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik STPM 2024 Kategori Orang Asli oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

“Saya punya inspirasi nak memperbaiki kedudukan sosial keluarga saya, saya nak naikkan status sosial saya. Jadi, saya boleh berdiri sebagai Orang Asli yang hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2024 di sini hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Roziana yang memperoleh keputusan 4A dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 berkata kehidupan beliau yang serba kekurangan seperti ketiadaan elektrik dan dan Internet selain jarak sekolah dan rumah yang memakan masa hampir sejam perjalanan membulatkan tekad sehingga sanggup tinggal di asrama selama setahun setengah bagi menghadapi peperiksaan STPM.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Roziana menjadikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pilihan utama untuk menyambung pengajian dalam bidang ekonomi. 

“Saya minat ekonomi ... universiti pilihan UKM kerana ia antara universiti terbaik di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pelajar Terbaik STPM 2024 Kategori Calon Berkeperluan Khas (buta), Nik Muhamad Ahnaf Rujhiee Raja Anuar berkata ulang kaji dan latihan menjadi kunci kejayaan beliau selain sering bertanya kepada guru jika ada perkara yang tidak difahami.

“Saya sentiasa bertanya kepada guru sekiranya saya tidak faham berkenaan sesuatu topik tu. Lama kelamaan saya dapat menguasai dan memahami topik tu dan alhamdulillah, hasilnya terbukti pada hari ini,” katanya yang memperoleh keputusan 4A dengan PNGK 4.0.

Seorang lagi pelajar cemerlang Ahmad Hanif Roslan berkata minat terhadap mata pelajaran Sejarah menjadi pemacu kecemerlangan dalam subjek itu sehingga dinobatkan Pelajar Terbaik Mata Pelajaran Sejarah STPM 2024.

“Bagi saya, Sejarah ini satu subjek yang seronok. Saya tak bosan baca walaupun bagi orang lain subjek ini agak kebelakang sedikit tapi saya tahu kita boleh belajar daripada sejarah itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff mengumumkan keputusan STPM 2024 yang mencatatkan PNGK nasional 2.85, iaitu tertinggi sejak peperiksaan itu dilaksanakan.

Selain itu, beliau berkata 1,266 calon atau 3.06 peratus meraih PNGK 4.00, iaitu peningkatan 150 calon berbanding 2023.

Sementara itu di IPOH, pelajar Orang Asli dari suku kaum Temiar, Sira Suhairi berkata memperoleh keputusan membanggakan ialah perkara yang sama sekali tidak disangka. 

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Muda Abdul Aziz di Sungai Siput itu memperoleh PNGK 3.09.

"Saya seperti tidak percaya semasa menerima keputusan tadi. Saya sangat gembira kerana semasa peperiksaan percubaan PNGK saya tidak sampai 3.0," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Sira, 20,  yang tinggal di asrama terletak lebih 60 kilometer dari rumahnya di Kuala Mu, Sungai Siput, berkata beliau memberikan komitmen tinggi terhadap kelas tambahan yang diadakan pihak sekolah.

"Berjauhan dari keluarga memang sukar tetapi tinggal di asrama beri kelebihan untuk saya fokus belajar. Setiap hari memang penuh dengan masa belajar sama ada dalam kelas mahupun ulang kaji pelajaran dengan rakan-rakan," katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi merealisasikan impian bergelar seorang guru.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan