AM

Anwar Hulur Sumbangan Kepada Ibu Tunggal, Pelajar Kurang Berkemampuan

22/06/2025 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada ibu tunggal, Melah Idris, 63, yang hidup serba daif serta menghidap pelbagai masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan kolestrol tinggi.

Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika melawat ibu kepada lapan anak itu di kediamannya di Kampung Padang, Kuantan.

Ahmad Farhan berkata warga emas itu kini bergantung kepada ihsan anak-anak untuk kos perbelanjaan dapur dan bil utiliti.

"Rumahnya pula serba daif, lantai bilik tidur sudah reput, tidak lagi selamat untuk didiami. Namun, wajahnya tetap tenang. Seolah-olah segala derita disimpan jauh di dalam hati, agar tidak membebankan sesiapa.

"Bagi pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan sedikit sumbangan dan sedang teliti bentuk bantuan paling sesuai buat beliau yakni bukan sekadar kewangan, juga pemulihan semula tempat berteduh yang lebih selamat dan bermaruah," katanya dalam catatan di Facebook yang turut dikongsi Perdana Menteri hari ini.

Dalam perkembangan lain di Bachok, Kelantan, Perdana Menteri turut memberikan sumbangan berupa komputer riba kepada Muhammad Syimir Amar Al-Muktar, 18, yang merupakan pelajar kurang berkemampuan di Kampung Pengkalan Chengal, Perupok, di sini hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Prof Dr Maszlee Malik yang mewakili Anwar ketika menziarahi pelajar berkenaan menerusi program Ziarah Kasih MADANI.

Maszlee berkata remaja itu yang meraih keputusan cemerlang 8A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini berdepan kesukaran untuk melanjutkan pengajian ke Politeknik disebabkan masalah kewangan.

“Kita mendapat maklumat bahawa pelajar ini bukan dari keluarga yang senang dan hanya bergantung kepada ibu yang merupakan ibu tunggal. Jadi bila mengetahui perkara ini Perdana Menteri meminta untuk kita menyantuni pelajar ini bagi menyalurkan sumbangan komputer riba. 

“Bahkan, Perdana Menteri dan juga kerajaan yang ada sekarang ini tidak mahu sesiapa yang keciciran dan ketinggalan hanya kerana keadaan ekonomi mereka. Kita ingin semua berjaya, kita minta pemimpin setempat sekiranya mempunyai maklumat yang senasib seperti pelajar ini boleh maklumkan kepada pemimpin setempat,” katanya kepada pemberita ketika menziarahi rumah pelajar berkenaan.  

Sementara itu, Muhammad Syimir Amar menzahirkan terima kasih dan penghargaan kepada Anwar atas sumbangan tersebut serta tidak menyangka kesusahan beliau meraih perhatian pemimpin nombor satu negara.

“Saya tidak menyangka dapat menerima sumbangan secara terus daripada Perdana Menteri sekali gus sumbangan ini dapat memudahkan urusan saya bagi menyambung pengajian ke peringkat asasi dalam bidang Teknologi Kejuruteraan di Politeknik Arau, Perlis pada 9 Julai depan," katanya yang bercita-cita untuk menjadi jurutera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan