AM

Melaka Rancang Rangka Kertas Kerja Pengurusan Pergerakan Bas Awam

22/06/2025 06:44 PM

MELAKA, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan Melaka sedang merancang untuk merangka satu kertas kerja melibatkan pengurusan pergerakan bas awam pelbagai kategori bagi mengawal selia operasi syarikat kenderaan itu serta pemandu bas secara lebih efektif dan teratur.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata langkah itu bertujuan memastikan semua syarikat pengendali bas terlibat beroperasi mengikut undang-undang yang ditetapkan, sekali gus mengurangkan kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut.

Beliau berkata inisiatif kawal selia itu membabitkan bas awam antaranya bas pelancongan, bas persiaran dan bas institusi pengajian tinggi (IPT).

“Sejak kebelakangan ini, banyak kes kemalangan membabitkan bas rombongan atau persiaran yang membawa pelajar IPT dan setakat ini, di Melaka kita tidak mempunyai sebarang garis panduan atau kaedah bagi mengawal selia operasi kenderaan berkenaan.

“Justeru, saya dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sedang merancang membentuk satu kertas kerja untuk mengawal selia pergerakan bas-bas ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) JPJ Negeri Melaka 2025, yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Mohd Kamal Hisham Abu Bakar serta Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop.

Sementara itu, Hameed berkata JPJ Melaka akan melaksanakan pengauditan terhadap 40 syarikat pengendali bas yang berisiko tinggi di negeri itu melalui strategi penguatkuasaan Op Khas Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) bermula Isnin ini.

Beliau berkata operasi itu selaras dengan pelaksanaan yang dijalankan di seluruh negara dalam usaha memastikan syarikat pengendali bas mematuhi aspek keselamatan, penyelenggaraan kenderaan, pengurusan pemandu serta rekod pematuhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.

“Kita telah mengenal pasti semua syarikat pengendali bas terbabit, yang akan disemak daripada pelbagai aspek ditetapkan dan mereka yang masih ingkar akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, beliau ketika mengulas pelaksanaan Program MyLesen (B2) memohon JPJ untuk meningkatkan kuota penyertaan peserta pada tahun hadapan kerana kuota tahun ini berkurang kepada 800 orang berbanding 2,500 orang pada tahun lepas.

Hameed  berkata pelaksanaan Program MyLesen (B2) sangat bermakna buat belia atau anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan untuk mendapatkan lesen motosikal khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan kurang akses pengangkutan awam untuk ke sekolah.

“Alhamdulillah, bagi tahun ini, sebanyak 800 peserta telah selesai menjalani ujian memandu dan berjaya mendapat lesen motosikal dalam tempoh Mac hingga bulan ini di lapan pusat latihan memandu di Melaka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan