JENAYAH & MAHKAMAH

Guru, Anak Maut Ditikam

12/06/2025 05:17 PM

MELAKA, 12 Jun (Bernama) -- Seorang guru wanita dan anak sulungnya maut manakala anak bongsunya cedera parah dipercayai akibat ditikam di rumah mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, awal pagi tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 5 pagi dan ibu tunggal berusia 51 tahun bersama anak lelakinya berusia 21 tahun itu ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu.

“Siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga anak kedua guru itu, telah masuk ke bilik ibunya lalu menyerang menggunakan pisau lipat serta berlaku pergelutan antara mereka.

"Abang suspek cuba meleraikan pergelutan itu, namun dia juga ditikam manakala anak lelaki bongsu berusia 13 tahun cedera terkena senjata tajam itu ketika cuba membantu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Ayer Keroh di sini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Leow Kian Heong.

Dzulkhairi berkata polis menahan suspek yang berada di luar rumahnya yang ketika itu dalam keadaan termenung selain menemukan senjata dipercayai digunakan dalam kejadian iaitu satu pisau lipat berukuran 20 sentimeter dengan kesan darah, yang disimpan dalam beg sekolah di luar rumah.

"Polis turut menemukan baju berlumuran darah dipercayai dipakai suspek ketika kejadian yang dibuang ke dalam semak berhampiran rumah itu,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan penelitian terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah jiran, polis mendapati tiada individu lain memasuki rumah berkenaan.

Siasatan awal katanya mendapati motif kejadian adalah disebabkan perasaan dendam dan tekanan perasaan dialami suspek kerana sering dileter mangsa.

"Mengikut maklumat jiran, suspek selalu dimarahi mangsa supaya belajar lebih tekun kerana dia akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini,” katanya sambil menambah beberapa jiran turut mendakwa keadaan rumah terbabit kerap bising. 

Dzulkhairi berkata pemeriksaan awal menemukan beberapa kesan tikaman pada mangsa seperti di leher, pinggang dan belakang manakala mayat kedua beranak itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Mangsa yang cedera parah turut dirawat di hospital sama dan kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan