AM

Kerajaan Terengganu Tanggung Kos Pengebumian 15 Mangsa Nahas Bas Gerik

09/06/2025 09:59 PM

KUALA TERENGGANU, 9 Jun (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan menanggung sepenuhnya kos pengebumian 15 mangsa nahas kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Maliaman Kassim berkata kerajaan negeri juga akan menyediakan sokongan logistik kepada keluarga mangsa yang berada di hospital.

Beliau berkata selain itu pasukan psikososial akan digerakkan bagi membantu ahli keluarga yang berdepan trauma atau kesedihan akibat insiden itu.

"Sesungguhnya pemergian anak-anak pelajar adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga malah kepada Terengganu yang amat berbangga dengan pencapaian dan semangat anak muda dalam menuntut ilmu.

"Kepada keluarga kita sediakan khidmat kaunseling dan bantuan segera bagi membantu menangani saat-saat sukar seperti hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas dari Jertih ke Tanjung Malim terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di JRTB berhampiran Tasik Banding.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan