AM

Presiden Poland Tiba Di Malaysia Untuk Lawatan Rasmi

09/06/2025 08:47 PM

SEPANG, 9 Jun (Bernama) -- Presiden Poland Andrzej Duda tiba di Malaysia hari ini untuk mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari yang bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala dan meluaskan kerjasama sedia ada.

Lawatan itu, yang merupakan kunjungan sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Ogos 2015, berlangsung pada waktu yang bermakna bertepatan dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 manakala Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah bagi separuh pertama pada tahun yang sama.

Pesawat khas yang membawa Duda, isteri beliau Agata Kornhauser-Duda dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pada 8.21 malam.

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. 

Duda kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 28 anggota dan pegawai Batalion Pertama Rejimen Askar Diraja Melayu.

Presiden Poland itu akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya esok disusuli mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala termasuk bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, pertanian, sektor halal dan agrokomoditi.

Perdana Menteri akan menghoskan jamuan rasmi di Kompleks Seri Perdana sebagai menghormati Presiden Poland itu dan delegasi beliau.

Menurut Wisma Putra, Duda turut dijadual mengadakan lawatan ke Rejimen Kedua Kor Armor Diraja di Kem Sunggala, Port Dickson dan menyampaikan syarahan umum di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya.

Lawatan itu melambangkan hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Poland yang berteraskan kepada prinsip saling menghormati serta kerjasama erat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1971.

Pada 2024, Poland adalah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion berbanding 2023.

Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan