GEORGE TOWN, 6 Jun (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengeluarkan 1,056 Permit Sembelihan Luar (PSL) sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Pengarahnya Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata permohonan PSL itu telah dibuka bermula 21 Mei hingga semalam sempena perayaan dan ibadah korban esok.
"PSL itu melibatkan jumlah keseluruhan haiwan yang akan dikorbankan iaitu 3,363 ekor lembu, 19 ekor (kerbau), 777 ekor (kambing), 56 ekor bebiri dan lima ekor unta di lima daerah di Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata kebenaran itu diberikan di bawah Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.
“JPV Pulau Pinang mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan ibadah korban agar sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang tersebut,” katanya.
Saira Banu berkata antara perkara penting perlu dipatuhi ialah semua penyembelihan luar mesti mendapat permit sah daripada JPV negeri, proses penyembelihan dilakukan di kawasan bersih, mempunyai kemudahan saliran atau perparitan yang baik dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha, esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial