AM

PM Rakam Penghargaan Kepada Semua Yang Terlibat Jayakan LIMA, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 - Fahmi

05/06/2025 09:50 PM

PUTRAJAYA, 5 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 baru-baru ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Anwar menyampaikan penghargaan itu pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini atas kejayaan penganjuran dua acara besar yang disifatkan cukup bersejarah.

"Perdana Menteri amat menghargai semua petugas dan pasukan yang terlibat dalam penganjuran LIMA di Langkawi pada hujung Mei lepas serta Sidang Kemuncak ASEAN.

"Rata-rata ketua negara dan ketua kerajaan menyatakan mereka sangat gembira dengan sambutan dan persiapan Malaysia selaku tuan rumah," katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Fahmi berkata Malaysia kini bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung hujung Oktober ini.

Beliau berkata Perdana Menteri juga sedang meneliti bentuk penghargaan yang sesuai bagi menghargai usaha serta komitmen pasukan terbabit dan pengumuman lanjut mengenainya akan dibuat kemudian.

“Insya-Allah, ada beberapa pertimbangan yang sedang dibuat dan kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkannya kelak,” katanya.

LIMA’ 2025 yang berlangsung di Langkawi hujung Mei lepas menghimpunkan 860 pempamer daripada 24 negara terdiri daripada 426 syarikat antarabangsa dan 434 syarikat tempatan. 

Bertemakan "Inovasi Hari Ini Pencapaian Masa Hadapan", pameran baru-baru ini merupakan yang terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.

Manakala di Kuala Lumpur, dua mesyuarat peringkat tinggi turut berlangsung dengan jayanya di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang dihadiri Perdana Menteri China Li Qiang merupakan yang pertama seumpamanya, mencerminkan usaha Malaysia untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau.

GCC merangkumi Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Fahmi berkata kejayaan dua acara itu menjadi asas penting kepada persiapan Malaysia bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung hujung Oktober ini, di bawah Pengerusi ASEAN 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan