IPOH, 29 Mei (Bernama) -- Misteri kehilangan ternakan dan kegusaran penduduk Kampung Perlop 1, Sungai Siput sejak awal tahun lalu akhirnya terungkai apabila seekor harimau belang jantan berjaya ditangkap dalam satu operasi oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, awal pagi tadi.
Haiwan pemangsa itu, yang dianggarkan seberat 90 kilogram dan berusia hampir dua tahun, memasuki perangkap yang dipasang kira-kira 700 meter dari penempatan penduduk sekitar pukul 3 pagi.
Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata pihaknya menerima maklumat daripada salah seorang penduduk pada pukul 8 pagi yang memaklumkan haiwan itu telah masuk ke dalam perangkap.
“Kehadiran harimau ini sejak sekian lama memang menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk. Dengan tertangkapnya haiwan ini, sudah tentu ia memberi kelegaan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan harian tanpa rasa bimbang,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Sebelum ini, penduduk kampung berkenaan sering diganggu dengan kelibat harimau tersebut yang bukan sahaja berkeliaran di kawasan penempatan, malah turut membaham sembilan ekor ternakan penduduk sejak awal tahun lalu.
Mengulas lanjut, Yusoff berkata harimau berkenaan berada dalam keadaan sihat dan akan dipindahkan ke Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan (NRWC) di Sungkai untuk tujuan pemuliharaan.
“Harimau ini mungkin dijadikan induk pembiakan bagi menyokong usaha pemeliharaan spesies yang semakin pupus di negara ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan masih terdapat harimau lain yang berkeliaran di kawasan sekitar, termasuk berhampiran Hutan Simpan Korbu yang terletak berdekatan kampung tersebut.
“Ancaman seperti ini mungkin akan berulang kerana sifat semula jadi harimau yang berkeliaran jauh dalam usaha mencari makanan,” katanya.
Dalam masa sama, Yusoff menasihatkan penduduk kampung, khususnya penternak agar lebih berwaspada dan tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran tanpa pengawasan.
“Kita sarankan haiwan seperti lembu dan kambing dikurung di dalam kandang yang selamat bagi mengelak menarik perhatian haiwan pemangsa ke kawasan penempatan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung atas kerjasama erat yang membantu menjayakan operasi penangkapan ‘raja rimba’ itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial