AM

Pra-Pelancaran HAWANA Pada 3 Jun Depan - Fahmi

19/05/2025 04:17 PM

LANGKAWI, 19 Mei (Bernama) -- Majlis Pra-Pelancaran sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 akan diadakan pada 3 Jun depan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pada majlis itu juga akan diumumkan tema serta logo sambutan kali ini, yang diadakan dengan bertujuan meraikan pengamal media di negara ini.

Sejajar dengan Kepengerusian ASEAN 2025 tahun ini, beliau berkata pelbagai media dari rantau Asia Tenggara akan dilibatkan dalam sambutan HAWANA kali ini.

“Sempena Kepengerusian ASEAN, HAWANA bukan hanya bersifat nasional, tapi boleh menjadi pemangkin kepada hubungan dan jaringan yang lebih baik, lebih erat di antara organisasi media di Malaysia dan organisasi media di rantau ASEAN.

“Ini penting kerana dalam usaha kita membentuk komuniti ASEAN maka tidak boleh lari dari kita mendapat maklumat, berita dari jiran ASEAN kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Kempen Internet Selamat Zon Utara, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Anggota Suruhanjaya MCMC Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin. 

Mengulas lanjut Fahmi berharap sambutan HAWANA kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengamal media di negara ini untuk memperkukuhkan hubungan dan jaringan di kalangan organisasi media di peringkat ASEAN.

Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 akan diadakan pada Jun ini, dengan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan