SEPANG, 1 Mei (Bernama) -- Presiden Kosovo Dr Vjosa Osmani Sadriu tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi empat hari yang juga adalah kunjungan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada 4 April 2021.
Osmani, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 1 KLIA) di sini dengan penerbangan komersial, disambut mesra oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Kompleks Bunga Raya pada 5.25 petang.
Sejurus tiba, beliau memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Muhammad Nafis Norshid.
Menurut Wisma Putra, Osman akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra esok yang disusuli mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perbincangan kedua-dua pemimpin dijangka memfokus kepada pengukuhan kerjasama dua hala dalam sektor utama termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan serta pertukaran antara rakyat Malaysia dan Kosovo.
Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama termasuk Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.
Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Okt 2008 sekali gus tampil sebagai negara Asia pertama yang berbuat demikian.
Hubungan diplomatik pula diwujudkan secara rasmi pada 18 Mac 2011.
Pada 2024, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kosovo mencecah RM28.55 juta (USD6 juta) dengan eksport negara ke republik itu sebanyak RM25.92 juta (USD5.5 juta) dan import RM2.63 juta (USD550,000).
Eksport utama Malaysia termasuk minyak sawit,produk elektrik dan elektronik serta barangan perkilangan manakala import dari Kosovo kebanyakannya terdiri daripada bahan mentah dan batu permata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial