AM

Andalusia Raih Dua Anugerah Berprestij Brandlaureate Di Singapura

01/08/2025 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd berjaya merangkul dua anugerah berprestij sempena Edisi Khas Ulang Tahun ke-20 The BrandLaureate BestBrands Awards 2025 yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Singapura, baru-baru ini.

Anugerah yang dimenangi itu ialah Anugerah Jenama Terbaik Edisi Khas Ulang Tahun ke-20 BrandLaureate 2025 untuk Kecemerlangan dalam Pelancongan dan Umrah Antarabangsa dan Anugerah Kepimpinan Jenama 2025 - Ikon Industri.

“Pengiktirafan antarabangsa ini meraikan komitmen teguh Andalusia terhadap kecemerlangan dalam industri umrah dan pelancongan Muslim, yang telah memberi khidmat kepada hampir sejuta jemaah dalam tempoh 23 tahun,” menurut kenyataan syarikat itu hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan pencapaian itu bukan sekadar satu perayaan kejayaan atas jenamanya, tetapi satu manifestasi kepada misi jangka panjang syarikat untuk mengangkat standard pelancongan Muslim dengan kecemerlangan, integriti dan matlamat yang jelas.

“Selama lebih dua dekad, Andalusia kekal komited dalam memberikan perkhidmatan umrah dan pelancongan Islamik yang dipercayai dan berkualiti tinggi, yang berlandaskan kepada keimanan, profesionalisme dan khidmat kepada umat,” menurut kenyataan itu.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Ida Riswana Idris dalam kenyataan yang sama berkata pengiktirafan antarabangsa itu juga menjadi peringatan bahawa apabila sesebuah jenama dipimpin dengan niat, nilai dan visi yang jelas, jenama tempatan sekalipun mampu membawa semangat negara melangkaui sempadan.

“Pencapaian ini milik seluruh pasukan kami, rakan-rakan strategik kami dan setiap jemaah yang telah bersama-sama mengharungi perjalanan ini. Ia membakar semangat kami untuk terus berkembang - bukan hanya dari segi capaian, tetapi juga dari segi tanggungjawab,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kejayaan berganda Andalusia itu mencerminkan evolusi jenama tersebut daripada satu nama tempatan kepada sebuah institusi yang dihormati pada peringkat antarabangsa, yang mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan kesan rohani.

“Ketika Andalusia melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya, pengiktirafan ini mengukuhkan lagi peranannya sebagai duta sejagat bagi kecemerlangan Islam, kepercayaan pelanggan dan penjenamaan yang berlandaskan tujuan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan