KANGAR, 31 Julai (Bernama) -- Program Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku menjadi platform efektif meningkatkan pengetahuan pelajar sekolah menengah mengenai pengorbanan pejuang kemerdekaan, sekali gus membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Pengarah Penerangan Perlis Aidatul Shima Che Hassan berkata program berbentuk pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu memerlukan pelajar menguasai ilmu pengetahuan tentang tokoh kemerdekaan serta elemen kenegaraan melalui mata pelajaran Sejarah.
"Program kenegaraan ini dalam bentuk penceritaan (yang dipertandingkan) berkisahkan pejuang kemerdekaan dan elemen kenegaraan supaya pelajar ini dapat mengetengahkan dan memperjelas lagi tentang perjuangan kemerdekaan oleh tokoh kemerdekaan melalui penceritaan ini.
"Selain itu, dapat mendidik dan melatih mereka untuk bukan sahaja mengenali tokoh perjuangan melalui subjek Sejarah tetapi juga penting untuk mereka lebih kenal elemen kenegaraan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan pengisahan kenegaraan peringkat Perlis 2025 di sini hari ini.
Beliau optimis program itu mampu menarik minat pelajar sekolah terhadap mata pelajaran Sejarah kerana pertandingan berkenaan berkonsepkan multimedia yang memerlukan pelajar menjadi kreatif dengan bimbingan guru untuk menghasilkan video pendek menceritakan kemerdekaan negara.
"Melalui program ini, pelajar boleh rekod dan edit video sendiri. Generasi muda sekarang sememangnya suka dengan pendekatan seperti ini termasuk media sosial. Jadi, elemen-elemen ini akan menarik minat mereka terhadap mata pelajaran Sejarah," katanya.
Terdahulu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau dinobatkan johan pertandingan itu dengan tajuk “Darah Tanah Ini”, sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil penyertaan dan plak serta melayakkan sekolah itu bertanding di peringkat kebangsaan mewakili Perlis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial