JASIN, 30 Julai (Bernama) -- Melaka menjadi lokasi persinggahan kedua bagi Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 yang meneruskan jelajah ke seluruh negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata konvoi itu disertai lebih 120 kenderaan pelbagai jenis termasuk motosikal berkuasa tinggi, melibatkan penyertaan beberapa jabatan dan agensi kerajaan.
"Bagi jelajah di Melaka hari ini, terdapat empat lokasi persinggahan membabitkan jarak lebih 60 kilometer bermula dari Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar selepas menerima penyerahan bendera daripada konvoi negeri Johor.
"Konvoi akan singgah ke lokasi kedua di McDonald’s Batu Berendam, seterusnya ke lokasi ketiga di Masjid Ar-Rahman, Durian Tunggal dan berakhir di Pasar Menggong pada hari ini," katanya.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pelepasan Peserta KMJG Melaka 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Melaka (JaPen) Ab Rasil Hajatil dan Ketua Konvoi KMJG Johor Saiful Hisham Mansor.
Fairul Nizam yang juga Ketua Konvoi KMJG 2025 Melaka berkata antara aktiviti di lokasi persinggahan ialah pengagihan Jalur Gemilang kepada orang ramai selain menyemarakkan kempen 'Satu Rumah Satu Bendera'.
Beliau berkata konvoi itu akan diteruskan ke Negeri Sembilan esok, bermula dengan pelepasan dari pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rembia sebelum diserahkan kepada Ketua Konvoi Negeri Sembilan di Muzium Rembau.
Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan pelepasan KMJG 2025 bersempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial