KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Brunei menzahirkan keyakinan bahawa ASEAN mampu untuk terus menjadi rantau contoh dalam menjulang diplomasi dan keamanan sejagat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu disentuh bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah ketika kedua-dua pemimpin bercakap menerusi panggilan telefon sejurus beliau tiba di Bangunan Sekretariat ASEAN di Jakarta hari ini.
“Kami menyentuh soal ASEAN selain bercakap mengenai usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja yang semalam bersetuju tanpa syarat untuk menghentikan segala bentuk keganasan.
“Insya-Allah, kami yakin ASEAN akan terus menjadi rantau contoh dalam menjulang diplomasi dan keamanan sejagat,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Semalam, Thailand dan Kemboja telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikai, hasil mesyuarat khas yang dipengerusikan Anwar selaku Pengerusi ASEAN di Putrajaya.
Mesyuarat khas itu dihadiri Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.
Turut hadir Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.
AS merupakan penganjur bersama mesyuarat itu manakala China hadir sebagai pemerhati bagi menyokong penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlaku.
Kedua-dua negara berjiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan bersama yang belum ditandakan sepenuhnya.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Konflik terbaharu tercetus pada 24 Julai lepas dengan beberapa insiden pertempuran dilaporkan di kawasan sempadan di utara Kemboja yang mengakibatkan korban jiwa di kedua-dua pihak.
Selesai mesyuarat khas itu, Perdana Menteri berlepas ke Jakarta bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto, yang berlangsung hari ini.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial