KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan memperkukuh tindakan terhadap aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata negara mengalami kerugian dianggarkan sekitar RM823 juta akibat pencerobohan nelayan asing bagi tempoh 2020 hingga 2024 meliputi kehilangan hasil tangkapan komersial, kemusnahan habitat marin dan tekanan terhadap sumber perikanan tempatan.
Beliau berkata RUU itu bukan sekadar pindaan perundangan tetapi juga reformasi bagi memperkukuh tadbir urus sektor perikanan nasional, menjamin kelestarian sumber serta melindungi hak nelayan termasuk komuniti kecil di luar bandar dan kepulauan,
"RUU ini bukan hanya mengambil kira kehendak domestik tetapi juga menyelaraskan negara kita dengan amalan antarabangsa dan saranan Suruhanjaya Eropah serta meletakkan Malaysia sebagai negara yang tegas dalam menangani perikanan IUU,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.
Arthur berkata RUU itu antara lain meminda peruntukan melibatkan kawal selia, pindah kapal, pendaratan dan penyelenggaraan vesel serta peluasan takrif kesalahan melibatkan kaedah penangkapan ikan yang merosakkan habitat dalam usaha menangani IUU.
Sebagai contoh, beliau berkata pindaan terhadap Seksyen 26 iaitu peruntukan bagi kesalahan penangkapan ikan menggunakan bahan letupan, racun atau pencemar, mana-mana perkakas menggunakan arus elektrik dan alat yang dilarang adalah amat penting untuk mengekang aktiviti IUU.
Selain itu, RUU berkenaan memasukkan subseksyen baharu iaitu 13(3A) yang menetapkan tempoh larangan permohonan semula lesen tidak melebihi tempoh lima tahun dari tarikh ia dibatalkan.
Arthur berkata ia sebagai langkah pencegahan bagi melindungi stok sumber perikanan negara dan dianggap sebagai hukuman berat untuk menghalang pesalah daripada mengulangi kesalahan sama.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial