KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi orang tengah kepada persetujuan "gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat" antara Thailand dengan Kemboja telah menerima pujian antarabangsa dan meletakkan Malaysia dalam perhatian dunia atas sebab yang positif.
Perjanjian damai itu yang dimeterai di Putrajaya selepas lima hari ketegangan memuncak, telah mendapat liputan utama daripada pelbagai media antarabangsa terkemuka termasuk British Broadcasting Corporation (BBC), The New York Times, Al Jazeera, serta agensi berita antarabangsa seperti Reuters, Associated Press (AP) dan Agence France-Presse (AFP).
Tajuk utama Al Jazeera ialah “Thailand, Cambodia agree to ‘immediate, unconditional’ ceasefire: Malaysia”, yang melaporkan bahawa “Malaysian PM Anwar Ibrahim says truce between the Southeast Asian neighbours to begin at 17:00 GMT.”
BBC turut melaporkan: “Thailand and Cambodia agree to 'immediate ceasefire’”.
Walaupun kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China terlibat dalam rundingan itu, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN terbukti amat penting dalam mengelakkan krisis kemanusian yang lebih besar akibat konflik sempadan yang berlarutan selama lebih satu abad, yang mengorbankan 30 nyawa dan menyebabkan 300,000 orang dipindahkan, dalam masa lima hari ketegangan berlaku.
Kejayaan Anwar membawa Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai ke meja rundingan juga mendapat pujian meluas.
Malah, AS turut mengiktiraf kepemimpinan Malaysia.
"Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim atas kepemimpinan beliau dan menjadi tuan rumah kepada rundingan gencatan senjata," kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara pada Isnin.
Situasi ini bukan kali pertama Malaysia memainkan peranan penting dalam mendamaikan konflik serantau. Negara ini telah lama mendapat kepercayaan sebagai orang tengah yang berkecuali, termasuk dalam usaha perdamaian di Aceh, selatan Thailand dan selatan Filipina.
Konflik terkini antara Thailand dengan Kemboja bermula dengan pertempuran kecil pada 28 Mei lepas sebelum meningkat kepada pertembungan berskala besar pada 24 Julai. Kedua-dua negara jiran itu telah lama bertelagah mengenai kawasan sempadan bersama sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial