AM

Struktur ICQC RTS Link Di Bukit Chagar Siap

28/07/2025 11:41 PM

JOHOR BAHRU, 28 Julai (Bernama) – Pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru–Singapura mencapai satu lagi detik penting apabila kerja struktur Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQC) di Bukit Chagar di sini berjaya disiapkan sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Hashim berkata pencapaian itu diraikan menerusi majlis simbolik ‘topping-out’ oleh IJM Construction Sdn Bhd (IJM), iaitu kontraktor bagi pakej pembinaan ICQC.

“Penyempurnaan struktur ini menandakan projek telah memasuki fasa seterusnya, iaitu kerja pemasangan dalaman dan fasad (muka bangunan) yang dijadual bermula September 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya ICQC merupakan komponen penting dalam projek ini kerana ia menempatkan kemudahan pemeriksaan bersama pihak berkuasa Malaysia dan Singapura — yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Menurutnya, majlis hari ini mencerminkan komitmen, koordinasi serta kecekapan teknikal semua pihak terlibat termasuk IJM Construction, perunding dan kontraktor dalam merealisasikan projek infrastruktur strategik nasional ini hingga ke tahap semasa pembinaan.

Dalam pada itu, Mohd Zarif memaklumkan kerja pemasangan landasan dan struktur utama bagi komponen seperti Jejambat Marin, Stesen Bukit Chagar dan Depoh Wadi Hana juga telah siap sepenuhnya.

“Kerja dalaman di Depoh Wadi Hana dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember ini, manakala pemasangan bumbung ikonik stesen sedang giat dijalankan di Bukit Chagar,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bekalan elektrik ke Depoh Wadi Hana berjaya disambungkan pada Jun 2025 — dua bulan lebih awal daripada jadual asal — hasil kerjasama erat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), membolehkan ujian sistem dilakukan lebih awal.

“Mengikut perjanjian dua hala antara Malaysia dan Singapura, fasa penting seterusnya adalah ujian dinamik sistem tren RTS yang dijadual berlangsung pada Mei 2026.

“Fasa ini akan menyaksikan tren beroperasi sepanjang jajaran penuh dari Depoh Wadi Hana ke semua stesen bagi tujuan pengesahan operasi dan kesediaan perkhidmatan,” katanya.

Projek RTS Link sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura dijangka siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi awal 2027.

Sistem pengangkutan rel ini mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan jangkaan jumlah penumpang harian sekitar 40,000 orang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan