AM

Laporan SUHAKAM 2024 Dibentang Sidang Akhir Parlimen Tahun Ini

24/07/2025 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi tahun 2024 dijangka dapat dibentangkan pada sidang terakhir Dewan Rakyat tahun ini, sekali gus menandakan langkah ke arah memastikan pembentangan laporan tahunan suruhanjaya itu dilaksanakan mengikut jadual bermula tahun depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata ketika ini SUHAKAM sedang meneliti dan melengkapkan laporan berkenaan untuk tujuan pembentangan.

“Langkah-langkah penambahbaikan berkaitan penyelarasan dan kecekapan proses laporan tahunan SUHAKAM sedang dilaksanakan. Antara yang dipertimbang termasuk menambah baik prosedur penutupan akaun dan proses audit dengan kerjasama Jabatan Audit Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Laporan Tahunan serta Penyata Kewangan SUHAKAM 2023 bagi Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) di Dewan Rakyat hari ini.

Kulasegaran berkata penambahbaikan itu penting bagi memastikan laporan tahunan dapat disiapkan dan dibentangkan dalam tempoh yang ditetapkan, selari dengan ketelusan dan akauntabiliti institusi hak asasi manusia negara.

Menurutnya SUHAKAM kini dalam proses membangunkan kerangka penilaian impak yang lebih sistematik dan berasaskan data berbanding kaedah ketika ini yang dinilai menerusi maklum balas peserta dan laporan aktiviti yang telah dilaksanakan.

Dalam pada itu, Kulasegaran memaklumkan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM yang baharu telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat.

Beliau berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan Seksyen 6(a) Akta SUHAKAM 1999 dan merupakan antara usaha memperkukuh peranan suruhanjaya tersebut dalam memperjuangkan dan melindungi hak kanak-kanak di negara ini.

Turut menggulung perbahasan itu 11 kementerian lain termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan.

Dewan Rakyat kemudiannnya meluluskan usul berkenaan dengan lebih suara yang menyokong selepas dibahaskan oleh 38 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Persidangan bersambung Isnin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan