AM

Dewan Rakyat Cadang Reformasi Menyeluruh Sistem Pengurusan Penjara, Tahanan

24/07/2025 08:09 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini mencadangkan langkah reformasi menyeluruh terhadap sistem pengurusan penjara dan tahanan negara dilaksanakan termasuk merangka piawaian yang manusiawi bagi memastikan keberkesanan pemulihan serta perlindungan kebajikan banduan secara bersepadu.

Cadangan itu dibangkitkan Ahli-Ahli Parlimen susulan kebimbangan terhadap isu kepadatan penjara dan depot tahanan, keadaan infrastruktur yang daif serta kekurangan kemudahan rawatan khususnya di lokap, penjara dan pusat tahanan seperti didedahkan dalam Laporan Tahunan serta Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023.

Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) menyarankan agar kerajaan merangka satu piawaian minimum berhubung pengurusan penjara bagi memperkukuh sistem tahanan negara selain menjamin hak penghuni malah mempermudah tugas penjawat awam.

“Saya yakin kerajaan tidak akan ambil mudah isu ini dan saya menyokong usaha kerajaan memperkukuh latihan kepada pihak penguat kuasa melalui kerjasama dengan SUHAKAM dalam pembangunan modul hak asasi manusia serta perlu diperluas.

“Bagi kesinambungan usaha sedia ada, saya mencadangkan agar satu piawaian minimum berhubung penjara manusiawi dirangka yang menetapkan asas piawaian daripada segi kesihatan, pemisahan tahanan dan akses kepada khidmat pemulihan,” katanya pada sesi perbahasan usul laporan itu di Dewan Rakyat hari ini.

Senada dengan beliau, Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) berkata pendekatan menyeluruh meliputi penambahbaikan infrastruktur perlu dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri dan agensi berkaitan.

“Fasiliti pusat tahanan seperti lokap polis, penjara dan depot tahanan Jabatan Imigresen yang  uzur serta daif boleh menjejaskan kesihatan penghuni dan petugas. Masalah kepadatan jumlah penghuni penjara dan tahanan juga menyebabkan penyakit berjangkit lebih cepat merebak serta menjangkiti penghuni dan petugas,” katanya.

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) pula menyifatkan isu kesesakan penjara sebagai krisis kemanusiaan yang mendesak tindakan reformasi segera.

Isu reformasi penjara dan tahanan turut mendapat perhatian Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang antaranya Datuk Kapten (B) Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang), Cha Kee Chin (PH-Rasah), Syahredzan Johan (PH-Bangi) dan Young Syefura Othman (PH-Bentong).

Pada sesi perbahasan itu, isu hak asasi serta perlindungan sosial pekerja ekonomi gig turut menarik perhatian Ahli-Ahli Parlimen yang antara lain mahu rang undang-undang berkaitan pekerja gig segera dibentangkan di Dewan Rakyat.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata ini kerana golongan itu berada di ‘zon kelabu’ daripada segi perundangan yang memberi kesan negatif kepada kebajikan mereka terutama jumlah tenaga kerja dalam sektor itu mencecah 26 peratus dan angka tersebut dijangka meningkat hingga tiga juta orang tahun ini. 

V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) pula berkata pekerja ekonomi gig masih belum menikmati perlindungan sewajarnya dari sudut undang-undang buruh, keselamatan sosial mahupun jaminan pendapatan yang mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan, penyakit serta kemiskinan tanpa sebarang jaringan keselamatan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pembentangan dan perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM di Dewan Rakyat merupakan satu tradisi penting dalam sejarah demokrasi negara.

Beliau berkata ini kerana ia memberi ruang kepada Ahli Parlimen meneliti pelaksanaan hak asasi di negara ini serta mencadangkan penambahbaikan terhadap dasar dan amalan sedia ada.

“Ia bukan sahaja melibatkan laporan semata-mata tetapi turut mencerminkan kesediaan kita sebagai sebuah negara untuk berbicara secara terbuka tentang isu-isu yang selama ini dianggap sensitif atau kurang diberi perhatian sewajarnya.

“Perbahasan ini menjadi wadah yang konstruktif bagi semua Ahli Parlimen untuk berbahas secara matang usaha-usaha memperkukuh pemeliharaan dan pemajuan hak asasi manusia di negara ini selain memastikan fungsi SUHAKAM dapat diperkukuh agar lebih responsif kepada cabaran semasa serta jangkaan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan