AM

Sokongan Malaysia Terhadap Perjuangan Palestin Berprinsip - Mohamad Hasan

24/07/2025 12:56 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Malaysia menegaskan bahawa sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin adalah berdasarkan prinsip kemanusiaan serta keadilan sejagat dan bukan semata-mata berpaksikan sentimen politik atau kelompok tertentu.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pendirian itu kekal konsisten sejak sekian lama, termasuk dalam isu membabitkan Hamas yang juga satu daripada entiti dalam landskap perjuangan rakyat Palestin.

Beliau berkata Malaysia tidak pernah berganjak daripada memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka dan menubuhkan sebuah negara berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Ramai bertanya, rakan sejawat bertanya mengapa Malaysia menyokong Hamas, sedangkan mereka dilabel sebagai organisasi pengganas. Malaysia mengatakan kita bukan menyokong Hamas (semata-mata), tetapi menyokong perjuangan rakyat Palestin, Hamas adalah sebahagian daripada mereka.

“Di pelbagai pentas, baik di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Malaysia secara konsisten menyuarakan isu itu dan mengutuk kekejaman Israel,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai usaha dan ikhtiar terkini kerajaan bagi membela nasib umat Islam Gaza yang sedang diancam kebuluran akibat perang berpanjangan oleh rejim Israel dan kegagalan seluruh dunia menghentikan kezaliman itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kezaliman di Gaza melangkaui batas kemanusiaan dan amat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Malah, semakin banyak negara yang sebelum ini menyokong rejim Zionis kini mengubah pendirian selepas menyaksikan sendiri keganasan melampau terhadap penduduk awam Palestin.

“Mereka telah sedar betapa kejamnya rejim Zionis Israel ini membunuh wanita dan kanak-kanak. Mereka mengatakan bahawa mereka (Israel) ada hak untuk membela diri. Saya persoalkan, adakah membunuh wanita dan kanak-kanak itu satu bentuk mempertahankan diri?,” katanya.

Dalam konteks itu, beliau berkata Malaysia sekali lagi akan mengemukakan usul reformasi kuasa veto UNSC pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan datang bagi memastikan prinsip keadilan dan kemanusiaan tidak terus dinafikan oleh negara-negara kuasa besar.

Mohamad berkata walaupun sokongan untuk menghentikan krisis di Gaza menjadi sokongan majoriti, penggunaan kuasa veto secara mutlak dalam UNSC sering menggagalkan usaha membela rakyat Palestin.

Beliau berkata Malaysia sekali lagi akan membawa usul reformasi kuasa veto antara lain untuk mengehadkan penggunaannya dalam kes melibatkan jenayah genosid, kekejaman terhadap manusia dan pemusnahan infrastruktur awam.

“Kita mahu supaya UNSC direformasikan, kuasa veto mesti dihadkan dan tak boleh digunakan sewenang-wenangnya selain menggesa keanggotaan bukan tetap diperluas kepada negara dari blok Asia, Afrika dan Amerika Selatan.

“Ini yang sedang kita lakukan dan cadangan itu telah mendapat sambutan positif dari negara-negara yang sepemikir dan Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan