AM

Diskaun Saman, Pemeriksaan Pergigian Percuma Tarikan Karnival Kita MADANI Di Muar

24/07/2025 10:14 AM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 24 Julai (Bernama) -- Tawaran diskaun hingga 30 peratus bagi bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka menjadi antara tarikan utama program Karnival Kita MADANI bersempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Muar hujung bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan berkata kaunter bayaran saman PDRM itu akan dibuka khas bermula 10 pagi, pada 26 hingga 27 Julai di Dataran Tanjung Emas untuk pengunjung memanfaatkan peluang meringankan beban saman tertunggak. 

“Ini peluang istimewa yang jarang-jarang ditawarkan namun ia tertakluk kepada terma dan syarat. Diskaun saman ini diharapkan dapat menggalakkan lebih banyak orang hadir selain memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata terdapat 12 jabatan dan agensi kerajaan Persekutan dan negeri termasuk swasta yang menawarkan kaunter perkhidmatan dan pameran interaktif kepada pengunjung sempena karnival itu, antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menawarkan penggantian dan pembetulan kad pengenalan serta konsultasi rekod kewarganegaraan.

Turut ditawarkan ialah sesi penerangan berkaitan simpanan persaraan, penggunaan i-Akaun serta perancangan kewangan jangka panjang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain itu, pengunjung berpeluang melakukan pemeriksaan pergigian serta cucian dan tampalan asas secara percuma, termasuk pendidikan kesihatan oral kepada pengunjung oleh Pejabat Pergigian Daerah Johor Bahru.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menyediakan perkhidmatan pembaharuan lesen memandu, semakan dan bayaran saman serta bimbingan penggunaan aplikasi myJPJ, manakala Majlis Perbandaran Muar (MPM) akan membuka kaunter bagi pembayaran cukai taksiran, permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan serta pertanyaan awam.

“Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pula akan menawarkan saringan kesihatan percuma termasuk ujian tekanan darah, glukosa dan kanser serviks bagi wanita,” katanya.

Justeru, Julina menyeru seluruh masyarakat khususnya warga Johor dan kawasan sekitar Muar untuk  hadir memeriahkan acara itu yang menjanjikan pelbagai manfaat untuk semua lapisan rakyat.

Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai itu, turut menampilkan pelbagai program sisipan seperti Karnival Kita MADANI dan Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk di Dataran Tanjung Emas, Muar. 

Program sisipan lain ialah Bakti Komuniti MADANI di Taman Tun Sulaiman Ninam Shah, Muar dan Permukiman Komuniti MADANI Semenanjung 2025 di Mini Stadium Bistari, Ayer Keroh, Melaka.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan