KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan terus komited menyalurkan subsidi silinder gas petroleum cecair (LPG) kepada rakyat, termasuk bagi kegunaan domestik serta perniagaan mikro dan kecil dalam sektor makanan dan minuman.
Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menolak dakwaan yang dibangkitkan oleh pihak tertentu bahawa kerajaan akan memansuhkan subsidi berkenaan, serta menyifatkan ia tidak tepat dan mengelirukan.
“Mandat yang diberikan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah untuk menangani ketirisan dalam bentuk penyelewengan dan penyeludupan dan tidak sesekali untuk menarik ataupun mengurangkan apatah lagi memansuhkan subsidi LPG,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan terus menyalurkan subsidi LPG memandangkan wujud dakwaan bahawa kerajaan akan memansuhkan subsidi itu.
Armizan berkata walaupun pada asasnya subsidi LPG disalurkan untuk kegunaan dapur rakyat, kerajaan mengambil kira keperluan sektor perniagaan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil yang turut menawarkan perkhidmatan bekalan makanan kepada rakyat.
“Kerajaan sentiasa terbuka untuk membenarkan sektor ini terus memanfaatkan subsidi LPG, namun jika alasannya adalah untuk memastikan mereka boleh menawarkan harga makanan dan minuman lebih berpatutan maka harap dipastikan harga itu adalah harga rakyat, bukan harga premium dan sebagainya,” katanya.
Armizan berkata komitmen kerajaan itu akan diterjemahkan melalui pengiktirafan kepada premis perniagaan mikro dan kecil yang layak melalui pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PKKB) 2021 yang memberikan kejelasan dari segi undang-undang.
“Dalam kita memperkenalkan mekanisme kawalan, pada masa yang sama kita terus membenarkan bukan hanya subsidi dapur rakyat di rumah tetapi juga peniaga mikro dan kecil akan terus dapat memanfaatkan subsidi tong gas LPG ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial