AM

Langkah Strategik Dan Teknikal Lindungi Tapak Warisan Arkeologi Di Bukit Melaka

21/07/2025 11:42 AM

MELAKA, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan Melaka mengambil beberapa langkah strategik dan teknikal bagi melindungi tapak warisan arkeologi di sekitar Bukit Melaka bagi memastikan kelestarian unsur sejarah yang ditemukan di kawasan berkenaan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata antara yang ditemukan di Taman Larangan yang terletak berdapan Istana Kesultanan Melaka tersebut ialah struktur penting seperti Jajaran Kota Melaka dan Bastion Hendrica Lisa.

“Antara langkah utama diambil ialah meneruskan kajian ekskavasi di kawasan tersebut dan sekitar Bukit Melaka yang menyimpan banyak bukti sejarah selain boleh dibangunkan sebagai produk baharu pelancongan yang dikenali sebagai Pelancongan Arkeo.

“Pelancong boleh merasai sendiri bagaimana kerja-kerja kajian arkeologi dilaksanakan dengan struktur batu laterit yang ditemukan akan dikekalkan di lokasi asal sebagai objek warisan bagi memastikan integriti sejarahnya tidak terjejas dan mengintegrasikan dalam pelan pembangunan tapak sebagai elemen pameran terbuka atau pusat interpretasi warisan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) yang mahu tahu apakah langkah diambil kerajaan untuk melindungi tapak warisan tersebut.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata kerajaan negeri juga mengadakan program kesedaran seperti seminar, bengkel dan pameran untuk meningkatkan kefahaman rakyat tentang nilai warisan.

Beliau berkata program pendidikan warisan dan kesedaran masyarakat setempat akan diperkasakan melalui kerjasama strategik dengan institusi pendidikan, agensi pelancongan serta pihak berkepentingan lain

“Papan penerangan dengan elemen interpretasi secara kod QR (respons pantas) akan ditempatkan di kawasan tersebut untuk membolehkan orang awam memahami kepentingan sejarah tapak ini selain kerajaan negeri juga akan mengawal pembangunan moden agar tidak merosakkan nilai sejarah tapak warisan di lokasi berkaitan.

“Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pemuliharaan jangka panjang tapak warisan arkeologi negeri di samping membina asas kukuh bagi penyelidikan ilmiah, pendidikan awam dan pembangunan pelancongan warisan yang mampan,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan