AM

ASM Perkukuh Peranan Sebagai Pemikir Dan Penggerak Pembangunan Negara

18/07/2025 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Akademi Sains Malaysia (ASM) yang sudah 30 tahun memainkan peranan sebagai pemikir strategik menggabungkan pakar pelbagai bidang untuk mengarusperdanakan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE), kini perlu melangkah lebih jauh dengan menjadi ‘pemikir dan penggerak ’ bagi membantu memajukan negara.

Presiden ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata transformasi ini selaras dengan objektif ASM sebagai badan pemikir dan pencetus perubahan.

“Program terpenting yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan sistem STIE negara yang berpandukan misi. Rangka kerja ini akan menyatupadukan projek STIE dari pelbagai sudut termasuk penyelidik, sektor awam, industri dan juga ahli masyarakat. 

“Penyediaan pentas kerjasama yang menggalakkan kolaborasi antara pemegang taruh dari sektor tersebut akan meningkatkan hasil dan impak lebih bermakna dalam program STIE,” katanya ketika berucap pada majlis 30 Tahun ASM dan Penganugerahan Felo 2024 dan 2025 di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.

Selain itu, beliau berkata penambahan Felo Kanan dan Felo baharu juga penting agar kepintaran kolektif dan rangkaian kepakaran dapat diperluas seterusnya membantu dalam mencetus perubahan demi pembangunan negara.

“Saya berharap setiap felo sedia ada dan baharu akan teruja dan tersentuh untuk menjadi seorang ahli terbilang dalam komuniti pemikir yang berpengetahuan luas. Bersama kita akan menjadi aktivis pencetus perubahan demi pembangunan negara dan rakyat,” katanya. 

Beliau turut menyatakan bahawa ASM antara akademi sains termuda di dunia, namun komited mencari kaedah terbaik untuk berbakti kepada negara.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional Prof Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata hasratnya adalah untuk membantu negara menjadi hab robotik serantau menjelang 2030 dan bagi mencapai hasrat itu, usaha perlu digerakkan bagi melatih tenaga pengajar di semua peringkat supaya bakat dihasilkan memenuhi keperluan industri.

“Kita mahu majukan dan pastikan penggunaan robotik dan kecerdasan buatan di negara ini mencapai tahap membanggakan sebab kita mahu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing kepada 15 peratus berdasarkan Pelan Hala Tuju Robotik Negara,” katanya.

Selain itu, Khairul berkata memandangkan bidang robotik berkembang dengan sangat pantas, negara juga memerlukan tenaga pengajar terlatih untuk membina bakat baharu dalam semua peringkat dari sekolah hingga universiti.

“Inilah cabaran besar diberikan kepada kumpulan pakar dalam bidang ini untuk melatih cikgu-cikgu dekat semua peringkat sama ada sekolah atau universiti supaya tenaga bakat yang kita hasilkan itu memang memenuhi keperluan industri kelak,” katanya.

Felo Kanan ASM 2025 Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim yang merupakan pensyarah Kejuruteraan Kimia di UCSI University berkata sains penting dalam menangani isu semasa seperti kecerdasan buatan, kelestarian dan ekonomi nadir bumi.

“Semua ini memerlukan sains. Selain itu, media juga memainkan peranan penting dengan melaporkan usaha dan inisiatif yang kita jalankan supaya orang ramai tahu perkembangan terkini dalam bidang-bidang ini,” katanya.

Prof Dr Fatin Aliah Phang Abdullah yang juga pensyarah di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata selaku Felo ASM beliau menekankan kepentingan meningkatkan teknik pengajaran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan guru.

“Saya lihat masalahnya bukan pada minat murid tetapi cara dan teknik cikgu mengajar hingga pelajar boleh yakin mereka faham subjek STEM, ini yang saya hendak bantu para guru. Diharapkan Kementerian Pendidikan juga akan bekerjasama untuk memastikan inisiatif ini berjaya,” katanya.

Pada majlis itu, Fadillah turut menyampaikan penganugerahan Felo ASM kepada tiga individu sebagai Felo Kanan dan 63 Felo baharu ASM bagi tahun 2024 dan 2025 yang kesemuanya terdiri daripada  saintis, jurutera dan pakar teknologi terkemuka negara. 

Turut dianugerahkan sebagai Felo Kanan ASM pada majlis tersebut ialah Academician Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail FASc (2024) dan Academician Dr Koh Chong Lek FASc (2025).

Individu yang dilantik sebagai Felo layak menggunakan gelaran Fellow of the Academy of Sciences Malaysia atau singkatan “FASc” selepas nama mereka.

Pemilihan Felo adalah mewakili individu terbaik di seluruh negara dalam lapan kumpulan disiplin iaitu Sains Perubatan dan Kesihatan; Sains Kejuruteraan; Sains Kimia; Sains Biologi, Pertanian dan Alam Sekitar; Matematik, Fizik dan Sains Bumi; Teknologi Maklumat dan Sains Komputer; Pembangunan Sains & Teknologi dan Industri serta Sains Sosial dan Kemanusiaan. 

Sehingga kini, ASM mempunyai 535 Felo yang terdiri daripada 30 Felo Kanan dan 505 Felo Biasa. Kedua-dua pengkitirafan “Academician” dan “FASc” merupakan pengiktirafan sains tertinggi  negara melalui Akta Akademi Sains Malaysia 1994.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan