AM

Wan Ahmad Farid Ketua Hakim Negara Ke-17, Angkat Sumpah Pada 28 Julai

18/07/2025 02:50 AM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 pada 28 Julai ini, menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lepas.

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan yang dikeluarkan malam Khamis

Wan Ahmad Farid, 62, yang berasal dari Kuala Terengganu, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 12 Nov tahun lepas.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) dari University of West London pada 1985 dan memperoleh Certificate in Legal Practice (Hons) daripada Universiti Malaya pada 1986. Kerjaya guamannya bermula sebagai peguam bela dan peguam cara di Tetuan Adnan & Wee, Kuala Terengganu, dari 1987 hingga 2003.

Selain kerjaya perundangan, beliau juga aktif dalam bidang pentadbiran dan politik, pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008, sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.

Antara tahun 2011 hingga 2015, beliau kembali ke bidang guaman sebagai peguam bela dan peguam cara di Tetuan Wan Farid & Surin, Kuala Lumpur.

Wan Ahmad Farid memulakan karier kehakiman sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu dari 2015 hingga 2019.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024, dan pernah bertugas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mahkamah Tinggi Shah Alam (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas), serta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas 3).

Pada 2024, Beliau juga memainkan peranan penting dalam membuat keputusan dalam kes saman pemula difailkan peguam Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berhubung kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam mengisytiharkan Darurat.

Dalam penghakimannya, Wan Ahmad Farid memutuskan bahawa kuasa YDPA dalam mengisytiharkan Darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan adalah perkara yang tidak boleh diadili oleh mahkamah

Wan Ahmad Farid juga antara anggota panel hakim yang mendengar kes membabitkan pertikaian 263.272 ekar tanah di Duta Enclave membabitkan Semantan Estate Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan