AM

NSRC Kini Diterajui PDRM Langkah Tepat Tangani Kes Penipuan - Lee Lam Thye

17/07/2025 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat memuji langkah kerajaan menempatkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di bawah pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai usaha menangani kes penipuan yang semakin berleluasa di negara ini.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata langkah berkenaan sangat tepat pada masanya memandangkan kes penipuan di Malaysia terus meningkat pada kadar yang membimbangkan, sekali gus menyebabkan kerugian kewangan dan emosi yang teruk kepada mangsa daripada semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata dengan menempatkan NSRC di bawah pengawasan langsung PDRM, ia mampu meningkatkan keupayaan operasi, melancarkan koordinasi antara agensi penguatkuasaan serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan sistem untuk bertindak dengan pantas dan tegas.

Sehubungan dengan itu, Lee mencadangkan agar operasi NSRC disepadukan secara masa nyata dengan Bank Negara Malaysia, penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan institusi kewangan bagi membolehkan pembekuan segera akaun penipuan, pengesanan aliran wang serta penyekatan talian telefon atau platform digital yang mencurigakan bagi memastikan keberkesanan operasinya.

“Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat turut mencadangkan pelaburan dalam teknologi canggih dan sistem pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Hal ini termasuk penggunaan alat pemantauan canggih, algoritma AI dan sistem pengesanan ancaman digital untuk mengenal pasti dan menghentikan operasi penipuan dengan pantas, terutama yang dikendalikan sindiket jenayah siber dari luar negara,” katanya.

Lee berkata kerangka undang-undang yang lebih kukuh dan penguatkuasaan yang lebih tegas juga amat diperlukan termasuk meminda undang-undang sedia ada bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap ahli sindiket penipuan dan “keldai akaun”, serta memastikan platform digital bertanggungjawab sekiranya gagal menurunkan kandungan atau iklan yang berkaitan dengan penipuan.

“Perluas dan kukuhkan pasukan NSRC. Tingkatkan tenaga kerja yang terdiri daripada pegawai tindak balas penipuan yang terlatih serta pakar forensik digital bagi memastikan pemantauan sepanjang masa, masa tindak balas yang lebih pantas, dan peningkatan keupayaan mengesan transaksi haram,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya kerjasama rentas sempadan diperkukuh dengan kerjasama lebih erat bersama polis antarabangsa dan rakan serantau bagi mengesan serta membongkar sindiket penipuan rentas sempadan yang mengambil kesempatan atas kelemahan undang-undang di pelbagai negara.

Pihak PDRM katanya perlu melancarkan kempen kesedaran awam yang agresif dan berterusan terutama di sekolah, kolej dan pusat komuniti sebagai usaha mendidik orang ramai mengenai taktik penipuan yang biasa serta langkah pencegahannya.

“Kami memuji langkah proaktif ini dan menggesa pihak berkuasa supaya menangani kegiatan penipuan ini dengan serius sama seperti ancaman keselamatan negara yang lain. Hanya melalui pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan dan masyarakat kita mampu membendung sindiket penipuan ini,” katanya.

NSRC ditubuhkan pada 14 Okt 2022 sebagai pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian merangkumi pengesanan dana yang dicuri secara lebih cepat dan pengambilan tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan