IPOH, 17 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mengeluarkan tujuh notis kepada peniaga susulan tindakan penyelarasan harga selepas kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamaluddin Ismail berkata notis berkenaan dikeluarkan menerusi Op Kesan 4.0 hasil pemantauan ke atas 48 premis perniagaan di seluruh negeri itu bagi memantau kesan pelaksanaan peningkatan kadar cukai berkenaan.
Beliau berkata operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 239 unit simpanan stok (SKU) barangan yang dijalankan oleh 195 anggota penguat kuasa dan 75 pegawai pemantau harga.
“Daripada 48 premis yang diperiksa, kami dapati tujuh premis membuat penyelarasan harga yang agak meragukan. Oleh itu, notis bertulis telah dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 supaya peniaga terbabit memberikan penjelasan dalam tempoh enam hari.
“Premis yang terbabit adalah pasar raya dan kedai runcit dengan satu kes masing-masing di Ipoh, Manjung dan Taiping, manakala dua kes di Tapah serta Teluk Intan,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan dan advokasi Op Kesan 4.0 di sebuah pasar raya di Tambun hari ini.
Kamaluddin berkata pemantauan itu bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara sewenang-wenangnya dengan menjadikan SST sebagai alasan.
“Setakat ini, kami hanya menerima satu aduan rasmi berkaitan harga mahal di sebuah premis makanan di Meru, Ipoh. Peniaga terbabit diminta memberikan justifikasi serta maklumat terperinci berhubung kenaikan harga makanan yang dikenakan,” katanya.
Beliau berkata KPDN tidak akan berkompromi sekiranya didapati berlaku pencatutan atau kenaikan harga yang tidak munasabah.
“Penguatkuasaan dan pemeriksaan harga akan terus dipertingkatkan di lokasi tumpuan seperti pasar awam, pasar raya, premis perniagaan dan kawasan komersial lain bagi memastikan tiada peniaga menaikkan harga sesuka hati.
“Kita juga akan menyiasat kes peniaga menaikkan harga dengan alasan SST sedangkan barangan terbabit tidak termasuk dalam senarai cukai. Jika ada unsur pencatutan, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial