JOHOR BAHRU, 16 Julai (Bernama) -- Kerajaan Johor memohon beberapa peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan projek berkaitan perumahan rakyat, mitigasi banjir serta pengurusan sisa pepejal moden di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata permohonan berkenaan dikemukakan dalam pertemuan rasmi bersama Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata permohonan utama adalah peruntukan bagi pelaksanaan projek Rejuvenasi Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), Skudai yang memerlukan penyelenggaraan secara berfasa serta pelan pemulihan jangka panjang.
“Inisiatif ini penting bagi memastikan perumahan kos rendah yang telah lama dibina terus selesa, selamat dan berdaya huni untuk rakyat.
"Kita turut membuat permohonan rasmi kepada KPKT kelulusan bagi pembangunan 1,000 unit Rumah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), dengan komitmen kerajaan negeri menyumbang RM20,000 bagi setiap unit sebagai bentuk perkongsian bersama SPNB demi memastikan lebih ramai rakyat dapat memiliki kediaman sendiri.
"Selain itu, saya juga membentangkan permohonan khas peruntukan bagi menangani kawasan 'hotspot' banjir di Johor, yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi. Kita berharap agar KPKT dapat memberikan kelulusan bagi pelaksanaan intervensi berfasa sebelum musim tengkujuh tiba demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti terlibat," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini.
Mohd Jafni berkata turut diketengahkan dalam pertemuan itu ialah pelaksanaan projek Waste-to-Energy (WTE) Bukit Payong, Batu Pahat yang bakal menjadi pemacu utama dalam pengurusan sisa pepejal moden di Johor dengan ia mampu menjadi model pengurusan mampan berasaskan teknologi hijau.
"Kesemua permohonan ini disusun dan dibawa dengan tekad yang jelas demi kesejahteraan rakyat Johor dan bagi memperkukuh infrastruktur asas di negeri yang sedang berkembang pesat ini.
"Usaha ini seiring dengan agenda besar Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menjayakan visi 'Maju Johor' sebuah negeri yang moden, berdaya tahan dan mengutamakan rakyat dalam setiap dasar dan pelaksanaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial