GEORGE TOWN, 16 Julai (Bernama) -- Tujuh bas perantara Rapid Penang akan disediakan kepada orang awam untuk ke Stadium Batu Kawan bersempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Peringkat Kebangsaan yang bermula esok hingga 20 Julai ini.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan bersama memaklumkan perkhidmatan tersebut disediakan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) subsidiari Prasarana Malaysia Berhad, yang merupakan antara rakan strategik KPN.
Inisiatif tersebut bertujuan memudahkan orang ramai merancang perjalanan untuk menghadiri pelbagai program dan aktiviti sempena sambutan yang berlangsung empat hari itu.
“Bagi laluan Sungai Nibong ke Batu Kawan di bahagian pulau, orang ramai yang berhasrat untuk ke stadium boleh menunggu di Tapak Pesta Sungai Nibong dan waktu operasi bermula 9 pagi hingga 10.30 malam pada 17 hingga 19 Julai manakala pada 20 Julai dari 9 pagi hingga 6.30 petang dengan kekerapan 60 minit.
“Di seberang pula bagi laluan Seberang Jaya ke Batu Kawan, terdapat dua lokasi menunggu iaitu di Hotel Blanket dan Bank Rakyat Perda bermula 9 pagi hingga 10.45 malam pada 17 hingga 19 Julai manakala pada 20 Julai dari 9 pagi hingga 6.45 petang dengan kekerapan sama,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata usaha murni oleh Prasarana Berhad dalam menyediakan perkhidmatan bas itu jelas mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa sistem pengangkutan awam yang inklusif dan mesra rakyat.
“KPN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prasarana Malaysia Berhad atas inisiatif menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma kepada orang ramai,” katanya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Ku Jamil Zakaria pula berkata Rapid Bus komited dalam usaha menyediakan bas perantara bagi kemudahan orang ramai untuk menghadiri SMP 2025.
Sebanyak 35 aktiviti menarik menanti pengunjung sempena SMP 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan, termasuk pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Pameran Malaysia Tanah Airku, pameran Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia serta Pavilion Perpustakaan Malaysia.
Majlis perasmian sambutan itu dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10.30 pagi, 19 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial