AM

Malaysia Techlympics Perkasa Keterangkuman, Inklusif

15/07/2025 07:37 PM

NILAI, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkasakan pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melalui Program Jangkauan Keterangkuman bersempena penganjuran Malaysia Techlympic 2025 Peringkat Zon Tengah. 

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata lebih 2,500 pelajar dari Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program berkenaan.

“Selain itu lebih 350 guru turut terlibat dalam latihan atau Training of Trainers (ToT) secara fizikal dan dalam talian. Usaha ini penting bagi memastikan semua pelajar khususnya luar bandar mendapat akses pendidikan berkualiti dalam arus pembangunan teknologi negara. 

“Program ini dapat meningkatkan akses kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya kepada pelajar luar bandar dan guru,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Zon Tengah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan Datuk Mohd Faizal Ramli.

Mohammad Yusof berkata pembelajaran berteraskan STI bukan hanya melalui kelas formal sahaja, sebaliknya program ini juga mengajar secara praktikal dan pelajar boleh terus mendapatkan pengetahuan  berkenaan bidang teknologi daripada pakar.

Beliau berkata melalui kaedah ini, pembelajaran dapat disampaikan secara interaktif, khususnya berkaitan pengaplikasian teknologi dalam kehidupan seharian.

Malaysia Techlympics yang memasuki tahun keempat dan dilaksanakan secara fizikal serta dalam talian di seluruh negara dari Jun hingga November bagi memperluas capaian dan penyertaan.

Mohammad Yusof berkata program berkenaan menggunakan pendekatan amali dan pembelajaran berasaskan pengalaman bagi memupuk minat, kreativiti dan bakat inovatif dalam STI serta menekankan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), pengekodan, dron dan pengkomputeran.

Malaysia Techlympic 2025 Peringkat Zon Tengah melibatkan lebih 2,000 pelajar daripada 128 sekolah itu mempertandingkan kategori 3.1R Cabaran Skytech Global (G-SKY); 3.4R Cabaran EZ Rover Tempur Global (G-Rover); 4.2R Cabaran Kereta Roket; 5.1R Cabaran Cetakan 3D; 6.1R Cabaran Kejuruteraan Dunia (WEC); 6.2R Cabaran Siasatan Jenayah dan Viralytics: The Ground Zero.

Sementara itu, pelajar, Alham Rizqi Mohd Fairul Ikhzani, 11, dan Adam Raaiq Roslie, 12, dari Sekolah Kebangsaan Seremban 2A dinobatkan pemenang kategori G-SKY bagi Negeri Sembilan selepas berjaya menyiapkan tugasan diberikan sepantas 42 saat. 

“Projek ini melatih diri kami lebih pantas berfikir dan kreatif dalam pengekodan supaya dapat menyiapkan tugasan diberikan dengan cepat, saya juga ada masuk kelas pengekodan untuk menambah skill kemahiran dalam bidang teknologi dan memahami basics of programming,” kata Alham Rizqi.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan